Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Tarragona utamakan kemenangan, bukan jaringan peribadi

img-20190301-wa0007.jpg
Penyerang utama The Red Warriors (TRW), Raul Tarragona, mahu mengutamakan kemenangan ke atas pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT) II, berbanding isu lain dalam aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, malam esok.

Tarragona, yang juga bekas penyerang Ansan Greeners, berkata kemenangan ke atas skuad kendalian Ervin Boban itu lebih menjadi keutamaan buat dirinya berbanding mencari jaringan peribadi pertama dan surat amaran meningkatkan prestasi daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

"Saya mahu membantu Kelantan memburu kemenangan kedua berturut-turut.

"Sebagai penyerang utama, saya sedar jaringan perlu dilakukan. Namun, saya lupakan buat sementara waktu kerana kemenangan pasukan menjadi keutamaan ketika ini.

"Bagaimanapun, saya tidak boleh terus berpeluk tubuh, sebaliknya perlu bekerja keras untuk menghasilkan jaringan bagi meningkatkan motivasi diri dan pasukan," katanya.

Ditanya aksi getir menentang skuad JDT II, penyerang kelahiran Uruguay berusia 32 tahun itu mengakui hakikat tersebut memandangkan Harimau Selatan sedang berada di puncak prestasi terbaik.

"Semua tahu mereka (JDT II) adalah pasukan yang kuat dan memiliki pemain yang baik.

"Kami akan berusaha gigih dan cuba melakukan kejutan untuk mendapatkan mata," katanya.

Untuk rekod, selepas mengharungi tiga perlawanan liga, Tarragona masih kemarau jaringan, sekali gus menimbulkan kegusaran dalam kalangan penyokong.

Bagaimanapun, Kelantan perlu berterima kasih kepada penyerang itu apabila gerakannya berjaya menghadiahkan penalti yang disempurnakan Flavio Beck Junior di penghujung permainan yang membolehkan TRW melakar kemenangan sulung musim ini ke atas UKM FC di Cheras.
 

Advertisement

Must Watch Video