Skip to main content

Bola Sepak

Tandukan Mina cukup untuk bantu Jepun mara

colombia.jpg
SENEGAL 0 COLOMBIA 1

Colombia menjuarai Kumpulan H hasil tandukan Yerry Mina dalam kemenangan 1-0 ke atas Senegal untuk menyingkirkan wakil Afrika itu dalam Piala Dunia 2018 berdasarkan peraturan 'fair play' -- negara pertama yang tersingkir daripada kejohanan ini melalui kaedah sedemikian. 


Kedua-dua pasukan berada di landasan untuk melangkah ke peringkat kalah mati dengan 16 minit tersisa dalam pertembungan di Samara Arena, sebentar tadi berikutan kekalahan 0-1 Jepun kepada Poland di Volgograd.

Bagaimanapun, Mina -- yang turut menemui sasaran dalam kemenangan ke atas Poland tempoh hari -- menjadi penentu buat pasukannya dengan jaringan lewat yang diraikan dengan gaya tarian secara sepasukan.

Jepun layak melalui tangga kedua Kumpulan H sungguhpun tewas kepada pasukan yang sudah terkeluar, Poland. Senegal mengumpul enam kad kuning manakala Jepun, empat. 

Senegal dikurniakan penalti pada babak pertama sebelum dibatalkan hasil penilaian Video Bantuan Pengadil (VAR) sementara pemain utama Colombia, James Rodriguez, terpaksa digantikan sebelum rehat dan kelibatnya diragui dalam pusingan kalah mati nanti. 

England dan Belgium menanti Colombia dan Jepun dalam pusingan 16, selepas Senegal ditimpa malang disingkirkan menerusi perbezaan tipis.

M'Baye Niang melepaskan peluang awal tatkala kedua-dua pasukan saling mengasak sebelum pengadil, Milorad Mazic, menganugerahkan Senegal penalti pada minit ke-17.

Selepas merujuk teknologi VAR, Mazic merumuskan pertahanan, Davinson Sanchez, telah memenangi bola sebelum mengasari Sadio Mane.

Colombia berhempas-pulas untuk mendapatkan rentak dan tersentak seketika selepas setengah jam permainan berlangsung. 

Pemain bintang, Rodriguez, yang memenangi Anugerah Kasut Emas dalam kempen Piala Dunia 2014, digantikan dan dilihat terus dibelenggu kecederaan yang meminggirkannya dalam kekalahan 1-2 kepada Jepun.

Berita jaringan Jan Bednarek untuk Poland mula tersebar dalam kalangan peminat Colombia dan Senegal lalu merancakkan aksi di Samara.

Mane tergelincir ketika sepakan percuma pada minit ke-64 dan hantaran tonggak Liverpool berkenaan menyimpulkan kualiti rendah dalam pertembungan ini. 

Kalidou Koulibaly sempat membuat sentuhan penting ketika mengekang percubaan Luis Muriel tatkala Colombia cuba menghidupkan peluang mereka dengan kepalanya. 

Dan pada minit ke-74, Colombia menjaringkan gol pemisah. Hantaran sempurna Juan Quintero kepada pertahanan Barcelona itu membolehkan ​​Mina melonjak sebelum melepaskan tandukan padu bagi menggegar gawang Senegal yang dikawal Khadim N'Diaye.

Senegal sedar mereka sedang ditunjukkan jalan keluar dan segera bertindak balas terhadap jaringan Mina, namun Ismaila Sarr terlepas peluang menarik setelah menerima umpanan Mane.

Colombia mempertahankan gol tunggal perlawanan itu dan walaupun semakin terdesak dan mengasak hebat pada penghujung perlawanan, jaringan penyamaan tidak kunjung tiba buat Senegal untuk mengekalkan mereka dalam Piala Dunia dan kesudahannya, rekod 'fair play' menghadirkan sejarah yang tidak mereka ingini.

Advertisement

Must Watch Video