Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Tambadau gah benam Harimau Kumbang

luis-carlos-junior-sabah.jpg
SABAH 2 PULAU PINANG 0 

Sabah terus membuktikan betapa mereka adalah pesaing utama dalam saingan Liga Perdana musim ini apabila membenam Pulau Pinang 2-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi.


Penyerang import Sabah, Luis Carlos Junior, muncul wira apabila menyumbat dua gol.

Tuan rumah tidak perlu menunggu lama untuk memperolehi gol pertama apabila tandukan Junior hasil sepakan sudut Sabri Sahar pada minit ketiga terus menerjah jaring bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Selepas itu, perlawanan dilihat seimbang, namun pasukan pelawat lebih banyak membahayakan pintu gol Sabah dan jika bukan kerana ketangkasan penjaga gol, Rozaimie Rohim, skuad kendalian Jelius Ating itu mungkin sudah dibolosi.

Pada minit ke-15, Rozaimie menyelamatkan rembatan Muhammad Nurfais Johari dalam keadaan satu lawan satu dan dia turut bertindak cemerlang dengan menafikan rembatan jarak jauh Mohd Ab Aziz Ismail pada minit ke-23.

Rozaimie sekali lagi menjadi penyelamat skuad Tambadau apabila menyelamatkan rembatan penyerang import Pulau Pinang, Ndumba Makeche, juga dalam keadaan satu lawan satu pada minit ke-36.

Bermula babak kedua, Sabah lebih garang dengan beberapa serangan berbahaya dan memperoleh gol kedua menerusi Junior pada minit ke-52.

Gol itu berpunca daripada gerakan Rodoljub Paunovic yang kemudian disudahkan dengan baik oleh Junior bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Pada minit ke-71, Sabah hampir menambah jaringan, namun tandukan Paunovic hasil hantaran Maxsius sekadar singgah di tepi jaring pintu gol Pulau Pinang.

Enam minit kemudian, Junior berpeluang untuk mencatat hatrik, bagaimanapun tandukannya hasil sepakan percuma Luka Milunovic tinggi ke atas palng dan kedudukan 2-0 itu kekal sehingga pengadil perlawanan, Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi, meniupkan wisel penamat.

*Kredit imej - Team Media SAFA

 

Advertisement

Must Watch Video