BOLA SEPAK
SUKIPT: Kejuaraan hatrik UiTM bukti penguasaan dalam bola sepak
Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus membuktikan penguasaan dalam acara bola sepak Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) apabila meraih kemenangan hatrik sejak 2018 sekali gus mengekalkan dominasi pingat emas menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2-1, semalam.
Perlawanan yang cukup mendebarkan itu terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan 30 minit selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-sama ketika separuh masa pertama di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Menurut ketua jurulatih, Mohd Yazli Yahya, dia tetap berbangga dengan aksi yang ditunjukkan oleh anak buahnya meskipun mengakui skuad UiTM dilihat tumpul di bahagian serangan.
Iklan
"Saya melihat pemain baharu yang diturunkan tampil dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan selain kekuatan mental dan fizikal menjadi faktor utama walaupun kami sedar lawan kami bukanlah pasukan yang biasa.
"Namun, mereka tetap bersemangat beraksi sebagai satu pasukan dan ini mendorong usaha kami berhasil di pentas akhir," katanya.
Dalam pada itu, penjaring kemenangan UiTM, Muhammad Fakhrur Razi Khairi Anuar, tidak menjangkakan percubaannya menjaringkan gol berjaya membuahkan hasil apabila impak segera yang diberikan ketika dimasukkan pada minit ke-60 mengubah corak permainan.
"Rasa lega sangat-sangat dan seperti mahu menghabiskan perlawanan secepat mungkin dan Alhamdulillah syukur ini rezeki saya dan berkat sokongan rakan-rakan kami berjaya menang.
"Tekanan tinggi kerana pasukan UKM sangat bagus dan mempunyai skuad seimbang daripada dahulu.
"Kemenangan ini untuk ibu dan ayah di rumah!" luahnya.
Must-Watch Video