Skip to main content

Bola Sepak

Sukan SEA: Tunku Ismail ambil pendekatan realistik

tunku-ismail-sultan-ibrahim.jpg
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mahu mengelak sebarang tekanan terhadap skuad  bawah 22 tahun negara yang sebelum ini diharapkan mampu mengulangi kejayaan meraih ibu segala emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Sebaik nama Frank Bernhardt diumumkan selaku individu penting mengendalikan skuad Sukan SEA dua tahun lalu, sasaran telah dinyatakan dengan jelas untuk mengejar ibu segala pingat emas.

Bagaimanapun, situasi itu sudah berubah menjelang 13 hari sebelum bermulanya temasya dwitahunan itu apabila Tunku Ismail tidak mahu terlalu mendesak dan lebih bersikap relevan dalam menetapkan pencapaian mereka.

"Sasaran sentiasa pingat emas tetapi saya mahu bersikap realistik. Saya enggan jika kita gagal mencapai sasaran, pemain akan disalahkan.

"Saya lebih memandang kejayaan jangka masa panjang," jelasnya.

Turut merujuk kekangan yang dihadapi skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee -- yang hanya menerima senarai penuh pemain hari ini -- Tunku Ismail menegaskan satu keputusan akan diambil dalam masa terdekat bagi mengelak pertembungan jadual daripada berulang.

"Saya enggan masalah ini berulang lagi hanya disebabkan jadual perlawanan. Jadi, kami perlu mencari penyelesaian terbaik agar masalah ini tidak lagi berlaku," katanya.

Tunku Ismail ditemui dalam majlis pertemuan ringkas dengan empat pasukan -- bola sepak lelaki dan wanita serta futsal lelaki dan wanita -- yang akan beraksi dalam temasya KL2017, di ibu negara hari ini.

Beliau memilih pendekatan yang lebih santai untuk menyampaikan ucapannya kepada pemain selain memberi jaminan suntikan insentif seandainya cemerlang dalam temasya itu.

Sementara itu, Kim Swee menegaskan kekangan yang dihadapi dalam temasya kali ini adalah yang paling sukar buat dirinya sepanjang mengendalikan skuad kebangsaan.

Mengakui masalah pemain bukan isu pertama kali berlaku, namun dengan hanya mampu mengumpul kesemua pemain dalam tempoh 13 hari sebelum saingan, ia mencetuskan kegusaran ketara, apatah lagi maruah negara menjadi taruhan.

"Dalam perlawanan terakhir semalam -- Liga Super -- kita dapat lihat beberapa pemain tidak dapat beraksi dengan baik. Jika itu berlaku, persembahan pasukan mereka akan terencat, sekaligus memberi kesan terhadap skuad kebangsaan.

"Tuanku tahu kedudukan kita sekarang, dan walaupun bukan satu KPI -- dalam memburu emas -- tetapi sebagai tuan rumah, setiap pemain mahukan pingat emas," jelas Kim Swee.

Advertisement

Must Watch Video