Skip to main content

Bola Sepak

Sukan Asia: Kim Swee laung keyakinan kemampuan anak buah

ong-kim-swee.jpg
Datuk Ong Kim Swee mengumumkan barisan terbaik 20 pemain untuk membawa cabaran dalam Sukan Asia 2018 tanpa ada sebarang kejutan besar.

Faktor pengalaman jelas tidak memihak Rodney Celvin berbanding pertahanan lain yang pernah beraksi di pentas antarabangsa bersama skuad B-23 menjelang temasya dari 18 Ogos hingga 2 September ini. 

Sementara itu, bagi posisi penjaga gol, jurulatih B-23 berkenaan boleh menyenaraikan kembali Khatul Anuar Jalil sekiranya mana-mana penjaga gol sedia ada tidak boleh diturunkan.

"Ini senarai terbaik kami. Saya percaya pemain yang disenaraikan boleh menggalas tugas di mana jua mereka diletakkan di posisi tertentu.

"Selain itu, kemasukan semula Hadi Fayyadh Abdul Razak memberi banyak ruang lagi," kata Kim Swee. 

Selain itu, jurulatih itu menjelaskan dia mengambil risiko menyenaraikan Daniel Amir Norhisham sungguhpun pemain itu baru pulih daripada kecederaan.

Ia bagi memastikan kekuatan di bahagian tengah tidak terjejas berikutan beliau hanya memiliki Baddrol Bakhtiar dan Nik Akif Nik Syahiran selain Syahmi Safari.

Turut meraih kepercayaan Kim Swee ialah penyerang muda Johor Darul Ta'zim (JDT) II, Hadi Fayyadh.

"Hanya Baddrol dan Nik Akif berada dalam senarai pemain tengah. 

"Kehadiran Daniel Amir mampu menambah pilihan di bahagian berkenaan, termasuk Syahmi yang kini beraksi di posisi tengah," tambahnya. 

Dalam perkembangan sama, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin, menggesa skuad B-23 negara mara sekurang-kurangnya ke pusingan 16.

Beliau cukup optimis kerana berdasarkan aksi dalam dua perlawanan persahabatan, skuad negara mempunyai potensi menghadirkan kejutan.

"Paling mustahak, Kim Swee dan pegawai fokus untuk menghadapi temasya ini. 

"Kekalahan kepada China serta kemenangan ke atas UAE melonjakkan semangat pasukan. 

"Saya juga bertambah yakin memandangkan skuad kendalian Kim Swee juga pernah layak ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China, awal tahun ini," kata Hamidin. 

Beliau turut optimis insiden dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jumaat lalu tidak akan berulang dalam Sukan Asia sambil menegaskan pemain negara sudah mempelajari sesuatu daripadanya.

"Saya harap ini iktibar untuk kita lebih berhati-hati dalam situasi ini. 

"Situasi ini boleh berlaku dalam tempoh 10 tahun sekali. Dalam bola sepak, apa-apa pun boleh terjadi, bukan sahaja dalam perlawanan persahabatan, bahkan dalam perlawanan biasa juga," katanya. 

Skuad Sukan Asia akan berlepas ke Indonesia esok dengan aksi sulung berdepan Kyrgyzstan pada 15 Ogos ini.

Advertisement

Must Watch Video