Skip to main content

Bola Sepak

Sukan Asia: Baddrol isi kuota lebih umur skuad bola sepak negara

kimswee.jpg
Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, sedia mempertimbang cadangan tidak akan memanggil mana-mana penyerang senior dalam pasukannya dengan keutamaan akan diberikan hanya kepada pemain tengah dan pertahanan.

Buat masa ini hanya pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar, berada dalam perancangan Kim Swee bangi mengisi kuota tiga pemain lebih umur dalam skuad Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Walaupun belum bersedia mendedahkan dua lagi nama pemain terbabit, dia mengakui tidak berminat mengambil mana-mana penyerang.

Berdasarkan skuad sedia ada, Kim Swee menjelaskan bahawa dia sudah mempunyai ramai penyerang muda yang boleh diketengahkan.

"Saya terpaksa melihat posisi mana yang saya inginkan. Baddrol bukan sahaja boleh bermain di bahagian tengah, dia juga boleh bermain di bahagian sayap kiri dan kanan. Dia akan menjadi kelebihan buat pasukan.

"Kemungkinan dua pemain lagi diperlukan di bahagian tengah dan pertahanan. Saya tidak melihat saya memerlukan pemain lebih 23 tahun di bahagian serangan," katanya.

Skuad bawah 23 negara akan memulakan latihan di Wisma FAM pada hari ini hingga 7 Julai sebagai persiapan awal menghadapi Sukan Asia.

Menurut Kim Swee, dia gembira komitmen diberikan kebanyakan persatuan negeri dalam soal pelepasan pemain dan berharap tidak timbul sebarang masalah menjelang temasya Sukan Asia nanti.

"Buat masa sekarang, saya tidak nampak ada masalah yang timbul kepada Baddrol atau pemain-pemain lain apabila tiba waktunya untuk Sukan Asia nanti," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video