Skip to main content

Bola Sepak

Sterling tahu kami mahukan dia, kata Guardiola

sterling.jpg
Manchester City berhasrat mengikat Raheem Sterling dengan kontrak baru yang panjang tetapi pengurus, Pep Guardiola, mengakui dia tidak pasti sama ada pemain antarabangsa England itu akan bersetuju dengan terma yang ditawarkan. 

Gabriel Jesus menjadi pemain utama City terkini yang memuktamadkan masa depannya bersama juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu pada Jumaat lalu dengan menandatangani perjanjian baru sehingga Jun 2023.

Dalam kempen kemenangan mereka musim lalu, Kevin De Bruyne, David Silva, Fernandinho, Nicolas Otamendi dan Ederson kesemuanya sudah menandatangani perjanjian baru.

Sterling belum lagi menyertai kumpulan tersebut di sebalik merekodkan 23 gol sepanjang musim lalu. Begitupun, rundingan sedang berlangsung dengan wakil berusia 23 tahun itu tatkala dia memasuki musim terakhir kontraknya.

Sterling tidak akan beraksi menentang Chelsea dalam Perisai Komuniti di Wembley malam ini setelah diberikan cuti panjang selepas memainkan peranan utama dalam ketujuh-tujuh perlawanan Piala Dunia 2018 bersama England.

Guardiola tetap menegaskan kelibat Sterling penting di City di sebalik kehadiran Riyad Mahrez dari Leicester City dengan yuran tertinggi perpindahan kelab.

"Tidak syak lagi kami mahukannya," katanya. "Dia tahu, ejennya tahu. Kami mahukan dia. Txiki (Begiristain, pengarah Bolasepak City) sudah bercakap dengannya.

"Jelas sekali sejak hari pertama saya tiba, kami mahukannya. Bagaimanapun, perjanjian adalah perjanjian, ejen adalah ejen dan pemain adalah pemain.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku tetapi saya memberi jaminan kepada anda, 100 peratus bahawa kelab ini, saya sendiri sebagai pengurus, pengarah sukan dan rakan sepasukannya, kami mahukan dia kekal," katanya.

Perjanjian baru untuk mengikat seorang lagi pemain sayap, Leroy Sane, juga dilaporkan dalam agenda di Eastlands.

Walaupun rakan sepasukannya itu memainkan peranan utama untuk kempen England di Russia, adalah mengejutkan Sane tercicir daripada skuad Jerman yang terkandas di peringkat kumpulan dalam usaha mempertahankan gelaran dunia. 

"Saya fikir, selalunya apabila seorang pemain mengimpikan untuk beraksi dalam Piala Dunia -- kejohanan paling menarik, cantik dan mengujakan di dunia -- tetapi tidak terpilih, mereka dilanda kekecewaan," ujar Guardiola tatkala sedia mempertaruhkan Sane untuk berdepan skuad kendalian Maurizio Sarri itu.

"Tetapi itu sudah dua bulan berlalu. Hidup seperti inilah, tidak mudah. ​​Bagaimana anda bertindak balas dalam tempoh buruk ini akan menjadikan anda lebih kuat.

"Jika dia dapat mengatasi keadaan itu, dia akan menjadi pemain yang lebih baik. Jika dia tidak, dia tidak akan dapat bersaing secara kerap.

"Sasaran untuk Leroy adalah dia menempuhi musim hebat tetapi ia hanya semusim. Anda perlu melakukannya pada musim yang lain dan seterusnya kerana pemain utama serta pemain terbaik dalam sejarah sekalipun, setiap musim mereka akan melakukannya. Ada kalanya mereka akan mengharungi satu-dua perlawanan yang buruk."

Untuk mencontohi pencapaian dan konsistensi yang tidak putus-putus seperti itu, Sane tidak perlu melihat lebih jauh memandangkan dia kini di bawah bimbingan seorang pengurus yang sentiasa dahagakan tiga gelaran liga berturut-turut di Barcelona dan Bayern Munich.

"Dari sudut pandangan saya, pemain tidak perlu bimbang, saya sudah bersedia untuk mencuba lagi," kata Guardiola.

"Ketakutan untuk tewas menjadikan saya terus dahagakan kejayaan. Semua pengurus cuba menghindari perasaan itu apabila tewas. 

"Anda rasa bersalah, anda berasa teruk. Kehidupan peribadi anda menjadi tidak bagus dan hubungan anda dengan pemain berlangsung tidak baik.

"Ketakutan untuk tewas membuat anda terus dahagakan kejayaan."

Advertisement

Must Watch Video