Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner, memahami peminat yang dahagakan kemenangan selepas beberapa siri kekalahan yang ditempa pasukannya.

Steinbruckner juga percaya usaha dan fokus yang diberikan anak buahnya sudah sehabis baik tetapi secara realistiknya, barisan kendaliannya itu masih belum menunjukkan potensi sebenar mereka.

Selepas dibelasah 1-5 oleh Selangor FC, Sang Penyu berpeluang menambat semula hati penyokong ketika melayani kunjungan Sri Pahang FC, Rabu ini.

"Penyokong tidak akan berpuas hati kalau kami tewas.

"Kami tidak beraksi baik dalam perlawanan terakhir, kami dibolosi lima gol akibat kesilapan individu.

"Jadi kami tidak boleh menjangka layanan yang baik daripada penyokong.

"Saya sempat berseloroh bahawa pemain saya mungkin sudah menyambut Hari Raya terlalu awal.

"Segalanya bergantung kepada keputusan tetapi kami perlu realistik dengan apa yang kami ada di dalam bilik persalinan.

"Setakat ini saya berpuas hati dengan pemain saya kerana mereka adalah yang terbaik di dunia buat masa ini.

"Kami perlu perbaiki pasukan demi keputusan yang lebih baik pada masa akan datang," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.





Tambahnya, masalah utama yang diberi perhatian ketika ini adalah di bahagian jentera tengah.

Steinbruckner masih tercari-cari formula untuk mencorak peluang berbahaya dan membolosi gawang pihak lawan.




"Kami masih lagi cuba mendapatkan seorang pemain tengah yang bukan sekadar mampu mencipta peluang, malah berkemampuan meledak gol.

"Mereka harus perlu mengimbangi dua dimensi, iaitu bertahan dan lebih kreatif ketika menyerang.

"Saya menginginkan transisi yang lebih kerap di kawasan pertiga lawan, barisan penyerang saya mula menyerlah berbanding pada awal musim ini.

"Apa pun kami juga memantau pemain di bahagian serangan yang baru," katanya.