Media sosial hangat dengan spekulasi katanya bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson Da Silva, bakal beraksi dalam Liga Indonesia pada masa akan datang, namun tuan badan pantas menafikan khabar angin itu.
Pemain naturalisasi baharu Harimau Malaya itu tidak bercadang mahupun berniat untuk meninggalkan Harimau Selatan, sebaliknya gembira beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M).
"Tidak. Saya tidak pernah membayangkan kemungkinan itu.
"Seperti yang saya katakan, tempoh lima hingga enam tahun saya di sini berlalu dengan begitu pantas.
"Jadi, saya tidak pernah benar-benar memikirkannya kerana saya gembira di Malaysia," katanya.
Meninjau laman transfermarkt, kontrak penyerang berusia 35 tahun itu bersama juara Liga Super 12 kali berturut-turut itu akan tamat pada Jun 2027.
Tonggak kelahiran Brazil itu merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super dengan jumlah 132 gol setakat ini.
Menyertai skuad kebangsaan dalam Piala ASEAN FIFA edisi sulung, Bergson membantu Malaysia menamatkan kempen di tempat ketiga dan membawa pulang pingat gangsa menewaskan Vietnam di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.