Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Spalletti: Inter kurang keinginan dan ketenangan

spalletti.jpg
INTER MILAN 0 EINTRACHT FRANKFURT 1
(Frankfurt ke suku akhir dengan agregat 1-0)

Luciano Spalleti pecaya pasukannya, Inter Milan, kekurangan keinginan untuk meneruskan kempen mereka dalam Liga Europa ketika Luka Jovic menjaringkan gol kemenangan Eintracht Frankfurt dalam perlawanan kedua pusingan 16 di Stadium Giuseppe Meazza, awal pagi tadi.


Jovic menjaringkan gol pada minit kelima untuk Frankfurt mendahului kedudukan agregat dengan Inter hanya memberikan sedikit ancaman dan membenarkan wakil Bundesliga itu ke suku akhir.

Frankfurt berkemungkinan berpesta gol andai Samir Handanovic tidak mengekalkan prestasi terbaik di gawang Inter dan Sebastien Haller pula berdepan percubaan yang terkena palang dan gol yang dibatalkan pengadil.

Spalletti, yang pasukannya turun beraksi tanpa penyerang utama ekoran Lautaro Martinez digantung perlawanan dan Mauro Icardi yang masih menghilangkan diri, berasakan Inter kekurangan keinginan dan ketenangan untuk bangkit selepas dibolosi.

"Kami kekurangan segala-galanya. Kami kehilangan keseimbangan dan terus melakukan kesalahan selepas dibolosi," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Ia menjadikan perlawanan ini amat sukar.

"Jika anda tidak mengeluarkan bola dan melakukan hantaran yang kasar, ia akan menjadi situasi yang terbuka untuk dicabar.

"Jika anda menghadapinya dengan kualiti, anda mampu untuk mengawalnya.

"Sedangkan ketika kami membawa bola ke ruang kosong, kami tidak dapat melakukan sesuatu yang berkesan.

"Jaringan awal itu memberikan kami tekanan dan membuatkan kami berasa tiada harapan lagi untuk bangkit.

"Kami sudah tewas sejak awal-awal lagi.

"Kami mempunyai banyak masa untuk menyelesaikan perkara itu dengan bijak.

"Bagaimanapun, kami menjadi terlalu terburu-buru dan kacau-bilau, bermain secara individu dan bukan sepasukan," katanya.

Inter akan berdepan seteru setempat, AC Milan, dalam perlawanan Serie A, Ahad ini, dengan kedua-dua pasukan itu -- di samping AS Roma -- sedang merebut tempat ke Liga Juara-Juara Eropah.

Spalletti, bagaimanapun, menggesa penyokong pasukannya untuk terus bersabar walaupun mereka gagal dalam kempen Liga Juara-Juara dan Liga Europa musim ini.

"Kami mempunyai jangkaan yang tinggi. Kami mahu menjadi pasukan yang menang, namun peluang amat tipis untuk kami melakukannya.

"Apa yang kami perlu lakukan adalah meraih keputusan yang penting dan seimbang, namun kami kehilangannya dengan sekelip mata.

"Kami perlu melakukannya dengan lebih baik berbanding malam ini.

"Kami perlukan lebih keyakinan.

"Kami akan mengkaji semula perlawanan ini dan mengenal pasti setiap kesalahan," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video