Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Southgate puji ketabahan Sterling

sterling.jpg
Pengurus England, Gareth Southgate, memuji ketabahan Raheem Sterling dan percaya pemain itu mampu tersenarai dalam anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA).

Sterling, yang berkemungkinan besar akan tersenarai dalam aksi kelayakan Euro 2020 menentang Republik Czech dan Montenegro bulan ini, melewati satu lagi musim memberangsangkan bersama Manchester City dengan menjaringkan 15 gol dalam membantu pemburuan empat kejuaraan skuad kendalian Pep Guardiola itu musim ini.

Pemain berusia 24 tahun itu juga menjadi tumpuan selepas usahanya membanteras isu perkauman dalam bola sepak dan menerima pujian meluas ekoran keberaniannya untuk bersuara selepas diejek dalam perlawanan menentang Chelsea di Stamford Bridge, Disember lalu.

Pengurus England, Southgate, kagum dengan Sterling dan percaya pemain itu mempunyai potensi untuk menjadi lebih baik.

"Apa yang membuatkan Raheem terus berdiri adalah ketabahannya," katanya kepada Talksport

"Kebangkitannya daripada kemerosotan prestasi, keupayaannya untuk membuktikan tanggapan orang lain salah dan dia sentiasa memberikan respons yang betul terhadap segala cabaran.

"Ia luar biasa. Dia menyertai kelab yang besar (Liverpool) sewaktu muda dan berjaya menyesuaikan diri.

"Kemudian dia melakukan satu lagi keputusan besar untuk berpindah ke City dan menyesuaikan diri dengan kelab itu.

"Mereka mengambil pemain baru dalam jendela perpindahan dan anda menyangkakan kedudukannya akan tergugat, namun itu tidak berlaku.

"Bagi saya, musim ini adalah satu fenomena tentangnya.

"Dia perlu menjadi calon pemain terbaik musim ini.

"Dalam usia 24 tahun, masih banyak perkara yang dia akan pelajari.

"Anda dapat lihat bagaimana aksinya di atas padang musim ini, dia amat berkeyakinan di depan gawang dan sentiasa bersedia untuk melakukan percubaan.

"Dia beraksi di bawah jurulatih yang hebat.

"Kesemua perkara itu akan membantunya menjadi lebih baik," katanya.

Advertisement

Must Watch Video