Skip to main content

Bola Sepak

Solskjaer tidak pandang pemain Manchester City

aguero.jpg
Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, menolak cadangan perpindahan Sergio Aguero dengan percuma daripada seteru kota, Manchester City.

City mengesahkan Aguero akan mengakhiri karier sedekadnya di Stadium Etihad sebaik kontraknya tamat hujung musim ini. 

Dia muncul sebagai penjaring terbanyak City sepanjang zaman dengan 257 jaringan dalam 385 perlawanan, penampilan terbarunya adalah ketika diturunkan menentang Leicester City, semalam. 

Tonggak berusia 32 tahun itu telah memenangi empat gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), satu Piala FA dan lima Piala Liga Inggeris (EFL) -- berpeluang menambah koleksi kejuaraannya memandangkan pendahulu liga itu masih dalam perlumbaan memenangi empat kejuaraan musim ini termasuk memburu kejayaan sulung Liga Juara-Juara (UCL).

Walaupun khidmat penjaring gol keempat tertinggi EPL itu boleh disambar dengan percuma, Solskjaer langsung tidak pandang kepada pemain daripada seteru domestik berkenaan .

"Ketika saya beraksi untuk Man Utd, sekiranya kelab lawan akan mencuba menandatangani lalu saya menyertainya, jadi di manakah letaknya kesetiaan?" kata Solskjaer. 

"Sudah tentu, kesetiaan adalah satu perkara yang bernilai tinggi. Oleh itu, saya tidak berminat dengan mana-mana pemain yang pernah mewakili kelabnya selama 10 tahun kemudian mahu menyertai pesaing tempatan.

"Saya sedar kami perlu profesional tetapi apabila anda beraksi untuk Man Utd, anda tidak pergi ke Man City."

 

Peter Schmeichel, Andrew Cole dan Carlos Tevez merupakan contoh pemain berprofil tinggi yang pernah berkelana ke musuh berjiran itu dalam era EPL. 

Tanpa menyebut nama, Solskjaer mengkritik mereka yang telah menunjukkan kurangnya kesetiaan terhadap kelab mereka. 

"Kami ada contohnya dan saya tidak begitu setuju dengan perpindahan mereka, dengan cara seperti itu. Saya tidak mahu menyebut sebarang nama, tetapi anda semua tahu pada siapa saya menuding jari," tambahnya. 

Advertisement

Must Watch Video