Skip to main content

Bola Sepak

Solskjaer teruja dengan serangan balas klasik Manchester United

sanchez.jpg
ARSENAL 1 MAN UNITED 3

Manchester United memperagakan satu lagi aksi serangan balas berkelas tinggi dalam sejarah pertemuan menentang Arsenal yang menyaksikan mereka melolosi pusingan keempat Piala FA, kata Ole Gunnar Solskjaer.


The Red Devils menampilkan aksi bertenaga di Stadium Emirates untuk mencatat kemenangan 3-1 hasil gol daripada bekas pemain The Gunners, Alexis Sanchez, Jesse Lingard dan Anthony Martial.

Solskjaer percaya ia bukanlah kebetulan apabila taktiknya membuahkan hasil sambil merujuk kepada sejarah mereka -- termasuk aksi separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) 2009 -- yang menjadi bukti kepada kata-katanya. 

"Jika anda melihat kepada sejarah dan perlawanan ketika kami menentang Arsenal tadi, itulah hakikatnya," katanya kepada MUTV.

"Saya masih ingat gol yang saya hasilkan pada 1997 selepas kami bertahan dalam situasi sepakan sudut -- bola menuju ke arah Giggsy (Ryan Giggs), ke Karel (Poborsky) dan Andy (Cole), kemudiannya saya.

"Semua orang tahu tentang gol klasik UCL (pada 2009) menerusi larian Ji (Park Ji-sung), Cristiano (Ronaldo) dan Wayne (Rooney).

"Wazza telah menjaringkan beberapa gol daripada gerakan seperti itu, begitu juga dengan Ji. Oleh itu, ancaman serangan balas ketika kami menentang Arsenal akan menjadi sejarah."

Antara kejutan taktikal dalam aksi tersebut adalah kelibat Romelu Lukaku yang diletakkan di sebelah kanan antara tiga penggempur dengan Lingard lebih memainkan peranan di bahagian pusat serangan. 

Begitupun, Lukaku membuktikan keputusan itu tidak salah apabila mencetuskan dua bantuan gol awal dan Solskjaer gembira dengan taktik tersebut. 

"Rom pernah beraksi di posisi itu bersama Belgium dan Everton," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Ia satu taktik yang boleh kami gunakan dan kami tahu betapa kuatnya dia. Dia boleh menyimpan bola dan meluru ke depan. Ia adalah satu hantaran hebat untuk gol Alexis."

Solskjaer turut memuji Lingard, secara khususnya, yang mencetuskan perdebatan dalam kalangan pemerhati bola sepak. 

"Jesse adalah pemain untuk perlawanan penting," kata Solskjaer. "Dia membuktikannya ketika bersama England, untuk kami. Dia sentiasa muncul sebagai penjaring. 

"Jesse adalah pemain yang kami tidak pernah teragak-agak untuk diturunkan dan dia dilahirkan melalui sistem ini. 

"Dia tahu apa ertinya, dia mengenali kelab ini, dia tahu sejarah kelab ini, dia tahu tentang semua gol yang kami pernah jaringkan ke atas Arsenal.

"Dia tahu segala-galanya mengenai kelab ini dan dia adalah seseorang yang akan kami jaga."
 

Advertisement

Must Watch Video