Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Solskjaer sasar Liga Perdana Inggeris

olegunnarsolskjaer.jpg
Pengurus baru Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, sudah mula mengintai kejuaraan Liga Perdana Inggeris, namun menyifatkan ia sebagai "sebuah gunung untuk didaki".

Solskjaer dilantik dengan perjanjian tiga tahun semalam selepas membuktikan kecemerlangannya selaku pengurus sementara sejak Jose Mourinho dipecat, Disember lalu.

Pengendali kelahiran Norway itu, yang meniggalkan Molde untuk kembali ke kelab yang dia pernah melakukan 366 penampilan itu, memenangi lapan perlawanan pertama dalam kesemua kejohanan sebelum menginspirasikan kebangkitan United bagi menyingkirkan Paris Saint-Germain (PSG) untuk ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

United tidak pernah menjuarai Liga Perdana Inggeris sejak Alex Ferguson meninggalkan pasukan itu pada 2013, namun Solskjaer berkata dia mempunyai segala-galanya untuk mengembalikan The Red Devils sebagai pasukan Inggeris terbaik.

"Untuk kembali menjulang Liga Perdana merupakan apa yang kami mahukan, apa yang kami sudah terbiasa dan apa yang sering kami lakukan sebelum ini," katanya dalam sidang media.

"Kami tidak boleh menunggu bertahun-tahun, namun ia bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan semalaman.

"Saya hanya mahu menjadi diri saya seperti sebelum ini.

"Saya tahu apa yang saya perlu lakukan.

"Saya mahu kami menjulang trofi, namun saya sudah tidak sabar untuk berdepan cabaran mengembangkan pasukan ini.

"Kami sudah bekerjasama dengan mereka sepanjang tiga bulan ini dan perkembangan itu sudah dapat dilihat.

"Kami tahu masih banyak lagi peningkatan yang akan dipamerkan mereka.

"Setiap hari, saya dapat menyaksikan sikap yang luar biasa dalam sesi latihan, namun kami sedar ia perjalanan yang masih jauh.

"Ia seperti gunung yang perlu didaki, namun kami sudah sampai ke puncak beberapa gunung sebelum ini," katanya.

United kini bersaing sengit dengan Tottenham Hotspur, Arsenal dan Chelsea untuk merebut dua lagi slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan dan Solskjaer mahukan pemainnya menyedari bahawa mereka tidak perlu menunggu lama andai gagal melakukannya musim ini.
 
"Mengejar tempat ke Liga Juara-Juara amat penting untuk sesetengah pemain, namun dengan mewakili Manchester United, anda tahu anda akan bermain di peringkat itu sebelum kontrak anda tamat.

"Kami kini dalam kedudukan yang baik untuk ke Liga Juara-Juara, namun ia masih belum dapat disahkan sehingga 12 Mei ini.

"Kami mungkin perlu meneruskannya sehingga tarikh itu dengan berbincang dengan pemain yang akan datang dan pergi," katanya.

Advertisement

Must Watch Video