Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Solskjaer harap De Gea balas kepercayaan United

david-de-gea.jpg
Pengendali sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, berharap David de Gea masih mengingati "kepercayaan" terhadapnya ketika perbincangan kontrak lanjutan pemain itu masih lagi berjalan.

United telah mengaktifkan pilihan untuk melanjutkan kontrak pemain skuad kebangsaan Sepanyol itu hingga penghujung musim depan tetapi masih lagi belum bersetuju untuk tawaran jangka panjang.

De Gea menyertai United pada 2011 daripada Atletico Madrid.

Di sebalik bergelut awalnya untuk menyesuaikan diri dengan saingan Liga Perdana Inggeris, dia telah dibentuk menjadi salah seorang penjaga gol terbaik dunia dan telah memenangi empat anugerah Pemain Terbaik Dunia dalam tempoh lima tahun.

Solskjaer memuji persembahan yang dipamerkan pemain berusia 28 tahun itu tetapi mahu dia mengingati setiap kepercayaan yang diberikan kepadanya.

"Kelab dan De Gea sedang berbincang, kami berharap akan mencapai persetujuan," kata Solskjaer. "Ia di luar kuasa saya tetapi kelab akan berusaha sebaik mungkin.

"De Gea telah menjadi pemain berkualiti. Kelab telah menunjukkan kesungguhan untuk mendapatkan khidmatnya ketika Eric Steele (jurulatih penjaga gol) dan bekas pengendali (Alex Ferguson) menemui dia.

"Terdapat beberapa penjaga gol yang lebih berkualiti pada ketika itu tetapi kepercayaan pengurus telah membuahkan hasil.

"Dia merupakan pemain terbaik United sejak beberapa tahun lalu. Kami sangat bertuah memilikinya.

"Sukar untuk membandingkan di antara Edwin Van der Sar dan Peter Schmeichel kerana mereka tidak bermain dalam zaman yang sama," kata Solskjaer apabila ditanya mengenai dua bekas penjaga gol United.

"De Gea telah memberikan persembahan berkualiti untuk United dan saya boleh mengatakan dia adalah yang terbaik di dunia. Schmeichel pada zamannya dan sama seperti Van der Sar.

"Saya sangat gembira dengan De Gea kerana perwatakannya sangat menakjubkan."

Solskjaer mengesahkan Marcus Rashford dijangka turun berdepan Southampton selepas membuat penampilan selama 13 minit ketika United meraih kemenangan 3-1 ke atas Crystal Palace.

Pemain kebangsaan England itu mengalami kecederaan buku lali ketika seri tanpa jaringan dengan Liverpool. 

"Dia masih lagi mengalami kesakitan ketika berdepan Palace. Tetapi dia akan sempat pulih sepenuhnya dan bakal turun dalam kesebelasan utama."
 

Advertisement

Must Watch Video