Skip to main content

Bola Sepak

Smalling sertai Roma secara pinjaman

chrissmalling.jpg
AS Roma menandatangani Chris Smalling secara pinjaman jangka panjang daripada Manchester United, demikian diumumkan kelab Serie A itu.

Pertahanan itu menandatangani kontrak lanjutan hingga 2022 di Old Trafford, Disember lalu, tiga hari sebelum pengurus, Jose Mourinho, dipecat.

Pemain berusia 29 tahun itu terus tersenarai selepas Ole Gunnar Solskjaer mengambil alih pasukan, namun ketibaan Harry Maguire menerusi jendela perpindahan lalu menjadikannya pemain lebihan di bahagian pertahanan tengah.

Disebabkan itu, dia memilih untuk menyertai Roma secara pinjaman dengan kelab itu membayar €3 juta (RM13.8 juta) kepada United.

"Ini adalah peluang yang sempurna buat saya," katanya dalam satu kenyataan.

"Peluang untuk beraksi dalam liga yang berbeza, dengan pasukan besar yang mempunyai aspirasi besar, bertepatan dengan apa yang saya perlukan.

"Harap-harap saya akan dapat beraksi baik. Saya tidak sabar untuk menyertai rakan sepasukan saya," katanya.

Pengarah Sukan Roma, Gianluca Petrach, menambah: "Kami gembira untuk membawa masuk pemain seperti Chris, yang berpengalaman luas, ke dalam Roma. Kami yakin dia akan membantu perkembangan skuad ini dan semua pemain yang akan beraksi di sampingnya."

Seperti Phil Jones, yang sudah lama berbakti buat United, Smalling juga tidak pernah terpilih dalam barisan utama musim ini dengan Solskjaer lebih memilih Axel Tuanzebe sebagai pilihan kedua di belakang Maguire dan Victor Lindelof.

Smalling melakukan 31 penampilan buat skuad kebangsaan England sejak 2017, namun tidak lagi memikat hati pengurus pasukan itu, Gareth Southgate.

Roma terikat 3-3 dengan Genoa dalam perlawanan pembukaan Serie A, hujung minggu lalu dan Smalling dilihat sebagai individu yang akan menguatkan kembali pertahanan mereka selepas kehilangan pemain berpengaruh, Kostas Manolas, yang menyertai Napoli musim ini.

Saksikan secara langsung perlawanan di antara United dan Southampton di Rasta, TTDI, malam ini, bermula 6 petang hingga 9.30 malam, anjuran istimewa Stadiumastro dan Astro Awani.

Advertisement

Must Watch Video