PIALA DUNIA
Skuad kendalian Petkovic berdepan Sweden dalam pusingan kalah mati
SWITZERLAND 2 COSTA RICA 2
Switzerland mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia selepas melakar keputusan seri 2-2 dengan Costa Rica di Nizhny Novgorod, awal pagi tadi.
Kemenangan Brazil ke atas Serbia dalam satu lagi perlawanan Kumpulan E bermakna skuad kendalian Vladimir Petkovic itu mengakhiri saingan di tangga kedua dan bakal berdepan Sweden di St Petersburg, Selasa ini.
Iklan
Switzerland -– yang mencipta kemenangan menerusi jaringan pada penghujung permainan ke atas Serbia dalam perlawanan kedua -- gagal menampilkan aksi terbaik ketika berdepan Costa Rica tetapi mendahului perlawanan selepas 30 minit bermain.
Blerim Dzemaili mengambil peluang di atas kawalan barisan pertahanan yang agak longlai sebelum Costa Rica menyamakan kedudukan selepas perlawanan bersambung dalam separuh masa kedua.
Pemain gantian, Josip Drmic, meletakkan Switzerland di landasan meraih tiga mata menerusi jaringan pada minit ke-88 sebelum sepakan penalti Bryan Ruiz menewaskan Yann Sommer untuk kedua-dua pasukan berkongsi mata.
Tumpuan Switzerland kini terarah kepada pertembungan dengan skuad bimbingan Janne Andersson itu manakala Costa Rica meninggalkan kempen kali ini lebih awal selepas mara ke pusingan suku akhir pada 2014.
Costa Rica bermain dengan baik dalam perlawanan ini selepas gagal melakukannya dalam dua aksi terdahulu, dengan menghasilkan beberapa percubaan pada permulaan permainan.
Sommer bertindak cemerlang menolak keluar rembatan jarak jauh Joel Campbell selepas enam minit dan sekali lagi menafikan tandukan Celso Borges.
Skuad kendalian Petkovic itu tidak memberikan ancaman ketika menyerang dalam babak pertama tetapi mendahului permainan menerusi jaringan pada minit ke-31.
Hantaran silang Stephan Lichsteiner berjaya mencari Breel Embolo dan Dzemaili menampan masuk menewaskan penjaga gol, Keylor Navas.
Ricardo Rodriguez hampir menggandakan jaringan selepas perlawanan bersambung tetapi percubaannya dinafikan oleh Navas.
Navas terpaksa bekerja keras apabila Switzerland menemui rentak, menafikan percubaan Embolo sebelum Waston menyamakan kedudukan buat Costa Rica selepas 56 minit.
Pertahanan itu melompat untuk mencapai hantaran Campbell, dengan menanduk masuk melepasi Sommer, sekali gus mencetak jaringan pertamanya bagi saingan Russia 2018.
Pada penghujung permainan, Drmic menjaringkan hantaran Denis Zakaria yang dilihat memberikan tiga mata buat Switzerland -- sebelum sepakan penalti diberikan kepada Costa Rica dan keputusan itu disahkan menerusi teknologi video bantuan pengadil (VAR).
Pengadil, Clement Turpin, memberikan sepakan penalti itu selepas Ruiz dijatuhkan oleh pertahanan Switzerland.
Ruiz menggunakan peluang itu sebaik mungkin untuk menyamakan kedudukan bagi memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata.
Must-Watch Video



