LALIGA
Simeone yakin tangani isu kecederaan
Atletico Madrid bersedia untuk mengharungi cabaran dalam saingan LaLiga dan Liga Europa walaupun berdepan masalah kecederaan pemain yang serius dan keazaman itu disuarakan pengurus, Diego Simeone.
Kecederaan paha dan patah kaki ketika aksi Liga Europa pada Khamis lalu menyebabkan Juanfran dan Felipe Luis terpaksa dilupakan khidmat mereka selepas sebelum itu tidak dapat menggunakan tenaga Diego Costa, Kevin Gameiro, Stefan Savic dan Jan Oblak.
Sesetengah pemain dijangka kembali apabila bertemu Villareal pada malam ini tetapi Simeone menyifatkan dirinya kini memiliki barisan pemain yang terhad ekoran penghijrahan Yannick Carrasco, Nicolas Gaitan dan Miguel Angel Moya ke China.
Iklan
“Tiada perkara yang sukar apabila memiliki 25 pemain dalam skuad, enam daripada mereka cedera. Tiada perkara yang diberi jaminan dalam kehidupan tetapi jelas sekali anda perlu sentiasa bersedia dengan masalah yang sering berlaku.
“Saya tidak risau kerana mempunyai pasukan yang kecil tetapi penting. Kami akan bersaing menggunakan tenaga yang ada. Savic, Oblak dan Gameiro sudah mengikuti latihan dan kita akan tahu nanti sebarang perkembangan sebelum aksi bertemu Deportivo La Coruna pada 1 April,” ujar Simeone.
Felipe dijangka kembali bersama pasukan dua bulan lagi tetapi Simeone yakin dia sudah mempunyai pengganti yang ideal.
“Sebelum ini, Felipe pernah mengalami dua episod kecederaan dan pasukan tetap tampil dengan aksi yang baik. Kami mempunyai Lucas Hernandez, Sergi Gonzalez dan Saul Niguez yang pernah beraksi di posisi itu.
“Lucas lebih kepada bertahan tetapi Sergi kini sedang berkembang dengan baik,” ujarnya.
Must-Watch Video