Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Silva kecewa dengan Colombia selepas Mina kembali cedera

yerry-mina.jpg
Pengurus Everton, Marco Silva, meluahkan kekecewaannya terhadap skuad kebangsaan Colombia selepas Yerry Mina kembali dilanda kecederaan paha.

Kehilangan Mina itu menyaksikan Silva akan kekurangan pemain untuk beberapa minggu ini.

Pertahanan berusia 24 tahun itu -- yang melakukan 14 penampilan buat The Toffees sejak tiba daripada Barcelona -- terpaksa diusung keluar dalam perlawanan persahabatan di antara Colombia dan Korea Selatan, yang hanya berselang empat hari selepas dia beraksi selama 90 minit ketika menentang Jepun.

Tiada sebarang pengesahan tentang waktu rehat yang perlu diambil Mina, namun Silva berang dengan keengganan Colombia untuk menerima saranan Everton bahawa dua perlawanan antarabangsa berturut-turut itu terlalu berat untuk dihadapi pertahanan berkenaan.

"Ia bukan berita baik," kata Silva dalam sidang media menjelang aksi Liga Perdana dengan West Ham, awal pagi Ahad ini.

"Ia merupakan sesuatu yang serius. Berita buruk buat kami dan dirinya sendiri.

"Ia merupakan musim yang sukar buatnya sejak menyertai kelab ini.

"Dia tidak bernasib baik dan ditimpa beberapa kecederaan.

"Kami sudah mengetahui risikonya sejak dari awal lagi andai dia diturunkan dalam dua perlawanan berturut-turut.

"Kami sudah memberitahu mereka, namun kami tidak dapat mengawal keputusan mereka.

"Kami sudah menyarankan bahawa selepas dia beraksi selama 90 minit ketika menentang Chelsea (Ahad lalu), dia tidak boleh bermain untuk dua perlawanan berturut-turut dalam waktu singkat.

"Dia mungkin masih dapat beraksi lagi musim ini.

"Kita akan lihat dalam berapa minggu ini, namun kami menjangkakan Mina akan kembali berlatih dan beraksi dengan jersi biru sebelum penghujung musim ini," katanya.

Advertisement

Must Watch Video