Skip to main content

Bola Sepak

Shaqiri, Xhaka didenda tanpa penggantungan perlawanan

granit-xhaka_2pbv6lhgwz116g81kl6hwu1r.jpg
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan pemain antarabangsa Switzerland, Stephan Lichtsteiner, Xherdan Shaqiri dan Granit Xhaka, tidak akan digantung untuk perlawanan Piala Dunia berhubung keraian gol mereka dalam kemenangan 2-1 ke atas Serbia di Stadium Kaliningrad, Sabtu lalu.

Xhaka dan Shaqiri meledak ketika Switzerland bangkit daripada ketinggalan untuk meraih tiga mata penuh dalam Kumpulan E itu, sekali gus meningkatkan peluang kemaraan mereka ke pusingan 16.

Kedua-dua pemain itu menggunakan tangan mereka untuk membentuk helang berkepala dua, seperti yang terdapat di bendera Albania, dengan FIFA membuka prosiding tatatertib terhadap mereka.

Bagaimanapun, ketiga-tiga pemain itu tidak akan digantung untuk jadual perlawanan Russia 2018 selepas FIFA menutup kes terhadap mereka dengan mendenda Xhaka dan Shaqiri masing-masing CHF10,000 (RM41,000).

Lichtsteiner pula dikenakan denda sebanyak CHF5,000 (RM20,000), dengan ketiga-tiga mereka diberi amaran.

Shaqiri dan Xhaka mempunyai pertalian Kosovo, dilahirkan di negara yang dahulunya sebahagian daripada jajahan Republik Persekutuan Yugoslavia -- Montenegro dan Serbia pada masa itu -- dan Tentera Pembebasan Kosovo pada akhir 1990-an.

Walaupun diiktiraf oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), Serbia enggan melihat Kosovo sebagai negara merdeka, sekali gus meneruskan hubungan tegang.

FIFA juga menghukum Presiden Persatuan Bola Sepak Serbia, Slavisa Kokeza, dan jurulatihnya, Mladen Krstajic, berhubung komen mereka terhadap keraian gol tersebut.

Kokeza dan Krstajic didenda CHF5,000 (RM20,000) dan kedua-duanya juga diberi amaran mengenai kelakuan mereka.

Persatuan Bola Sepak Serbia juga didenda CHF54,000 (RM220,000) dan diberi amaran kerana penyokongnya mempamerkan sepanduk berbentuk diskriminasi, mesej berunsurkan politik dan membaling objek semasa perlawanan.

Switzerland, yang memerlukan satu mata lagi untuk layak ke pusingan 16, akan menghadapi Costa Rica dalam perlawanan terakhir Kumpulan E mereka di Stadium Nizhny Novgorod, Khamis ini. 
 

Advertisement

Must Watch Video