Skip to main content

Bola Sepak

Shahrul lega sumbat jaringan sulung bersama JDT

shahrulsaad.jpg
Penantian satu penyeksaan, namun cukup berbaloi buat pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT) Shahrul Saad, yang membuka akaun jaringan bersama skuad Harimau Selatan setelah berehat hampir enam bulan ekoran kecederaan lutut.

Lebih manis, pertahanan skuad Harimau Malaya itu menghasilkan gol pada penampilan pertamanya dalam kesebelasan utama JDT untuk kempen Piala Malaysia musim ini. 

"Saya sangat bersyukur kerana kembali ke tahap terbaik dan dapat beraksi bersama JDT. Jaringan itu adalah bonus bagi saya kerana apa yang penting adalah kembali beraksi dalam skuad utama," kata Shahrul.

Terdahulu, Shahrul yang menyertai JDT Mei lalu melakukan debut ketika menentang Sabah FC di Stadium Sultan Ibrahim 2 November lalu.

Bekas kapten Perak FC itu semalam diturunkan buat kali pertama dalam kesebelasan utama bertemu Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad IV yang juga aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia.

Dia yang bergandingan bersama Mauricio Santos dan Feroz Baharudin berjaya menyumbat gol pada minit ke-90 sekaligus melengkapkan kemenangan 4-0 ke atas The Red Warriros.

"Sememangnya kami akan mengekalkan momentum kemenangan bertemu Kedah. Kami akan terus memberikan 100 peratus dan dapat memberikan yang terbaik buat pasukan. Gandingan bersama Mauricio amat baik bagi saya kerana dia sentiasa membantu saya sekaligus memastikan kemenangan pasukan," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video