Skip to main content

Bola Sepak

Sentuhan Abu Bakar Fadzim perangkap Sang Penyu

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

220217-abu-bakar-fadzim.jpg
Percaturan ketua jurulatih Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC, Abu Bakar Fadzim, nyata menjadi selepas pasukan itu mengaibkan Terengganu 4-2 dalam aksi Liga Perdana di Kuala Terengganu, malam tadi. 

“Kami beraksi dengan serba kekurangan tanpa penyerang utama, Gilberto Veldenesio, yang cedera, kemudian beraksi dengan 10 pemain selama 45 minit.

“Situasi itu memaksa kami bermain dengan strategi bertahan dan serangan balas berjaya menghukum kealpaan Terengganu yang ghairah mencari gol.

“Ini keputusan yang positif, namun perjalanan masih jauh dan kami perlu kekal konsisten kerana semua pasukan sedang mencabar satu sama lain,” ujarnya.

Ketua pasukan PKNP, Muhd Shahrel Fikri Fauzi, mengejutkan hampir 10,000 penyokong tuan rumah dengan menanduk masuk sepakan penjuru Vincent Lucas pada minit ke-12 sebelum menolak masuk gol kedua pasukan pelawat (m-29).

Tersentak dengan dua gol itu, Terengganu merapatkan kedudukan menerusi tandukan Federico Falcone pada minit ke-36 hasil hantaran Muhd Ferris Danial dari sebelah kiri.

Seminit babak kedua bersambung, pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Muhammad Fadhil Idris dilayangkan kad merah gara-gara kekasaran yang dilakukan ke atas Issey Farran Nakajima.

Kesempatan itu gagal digunakan Sang Penyu, sebaliknya PKNP menjaringkan gol ketiga melalui tandukan pemain pertahanan, Ritus Krjauklis, juga dari sepakan penjuru Vincent Lucas (m-51).

Terengganu cuba merencana kebangkitan dengan sekali lagi merapatkan kedudukan 2-3 hasil jaringan Issey (m-51).

Vincent terus menjadi pemusnah tuan rumah selepas berjaya mencuri bola hantaran kurang cermat pemain Terengganu, Muhd Shahrin Sapien, untuk gol keempat PKNP pada minit ke-82.

Penolong jurulatih Terengganu, Mohd Nafuzi Zain, pula menyifatkan kehilangan tumpuan selain beraksi dalam tekanan selepas ketinggalan pada awal perlawanan sebagai punca kekalahan kedua mereka, musim ini.

“Kami beraksi dengan baik, bagaimanapun empat gol yang dilepaskan adalah ‘hadiah’ kepada pasukan lawan dan kami dihukum oleh kesilapan sendiri.

“Pemain-pemain hilang tumpuan, malah nampak tertekan.

"Sukar untuk kami mendapatkan gol tetapi sangat mudah untuk dibolosi.

“Ketiadaan Lazaro (Vinicius) dan (Mohd) Izwan Jarudin, juga melihatkan kelemahan benteng pertahanan yang cukup ketara, malam ini (semalam),” kata Nafuzi. 

Advertisement

Must Watch Video