Skip to main content

Bola Sepak

Semangat pemain sumbang kemenangan Melaka

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

asiana-melaka.jpg
Semangat pemain untuk berjaya menjadi antara faktor Melaka menewaskan Kedah 2-0, sekali gus memperoleh tiga mata dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darulaman, malam tadi.

Ketua jurulatih Melaka, E. Elavarasan, berkata pemain bermain dengan begitu baik mengikut taktikal yang dirancang sehingga menjaringkan satu gol dalam separuh masa pertama yang memberikan kelebihan kepada pasukan bawahan liga itu berupaya mendapatkan satu gol lagi dalam separuh masa kedua.

“Perlawanan ini saya pun tidak sangka akan dapat 2-0, saya rasa pemain tahu paling penting untuk kita sekurang-kurangnya dapat satu mata.

"Tetapi apabila dapat tiga mata, ia akan naikkan kita punya tangga (kedudukan) sekali gus meningkatkan lagi semangat pemain untuk berjaya selepas ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Elavarasan berkata pemain mendapat suntikan semangat itu daripada Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka, Datuk Wira Mohd Yusof Mahadi, yang memberikan kata-kata semangat supaya bermain sebaik mungkin untuk berupaya memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super. 

“Separuh masa kedua, saya lihat sudah 50-50 yang mana perlawanan akan jadi 1-1 ataupun akan dapat lebih lagi. Kita dapat banyak peluang, Kedah juga saya rasa dapat banyak peluang untuk menyamakan  gol tetapi nasib menyebelahi kami hingga dapat tiga mata yang lebih penting buat kami,” katanya.

Sehubungan itu, Elavarasan optimis yang pasukannya itu mampu meningkatkan kedudukan dalam carta Liga Super, sekali gus keluar daripada kelompok pasukan bawahan.

Sementara itu, ketua jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff, berkata corak permainan pada separuh masa pertama kurang efektif, namun pemain mempunyai banyak peluang menjaringkan gol ketika separuh masa kedua selepas menukar corak permainan.

Beliau berkata nasib, bagaimanapun, tidak menyebelahi pasukan itu malam tadi hingga kalah kepada Melaka.

“Kalau tidak silap, ada empat atau lima peluang untuk jaringkan gol (dalam separuh masa kedua) tetapi kalah pada malam ini antaranya atas faktor nasib juga tidak menyebelahi kami,” katanya.

-- BERNAMA

Imej: Asiana

Advertisement

Must Watch Video