Skip to main content

Bola Sepak

Semangat juang Atletico dengan 10 pemain undang pujian Simeone

carrasco.jpg
ATLETICO 2 ESPANYOL 1 

Diego Simeone tabik kepada Atletico Madrid kerana mempamerkan "personaliti, kebanggaan dan kerja keras" mereka dalam kemenangan dramatik 2-1 ke atas Espanyol di sebalik mengakhiri perlawanan malam tadi dengan 10 pemain. 


Pemain gantian, Matheus Cunha dan Yannick Carrasco, saling bergandingan pada minit ke-52 untuk merobek gawang lawan di Wanda Metropolitano.

Bagaimanapun, Geoffrey Kondogbia menerimpa padah apabila dilayangkan kad kuning kedua seterusnya diperintah keluar padang yang menyaksikan Raul de Tomas mengambil kesempatan itu untuk mengimbangi kedudukan melalui sepakan percuma.

Hasrat Atletico untuk menempah tiket kelayakan ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan mulanya nampak makin suram hinggalah detik Carrasco menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-10 masa kecederaan selepas video bantuan pengadil (VAR) mengesan bola terkena tangan De Tomas. 

Kemenangan itu melonjakkan penyandang juara LaLiga tersebut ke tempat keempat -- cuma dipisahkan perbezaan gol dengan Sevilla dan Barcelona selain tiga mata di depan Real Betis yang diikat Real Sociedad, kelmarin. 

Atletico mengumpul mata terbanyak berbanding pasukan pencabar lain sepanjang musim ini berbekalkan gol pada minit ke-90 atau ke atas (10 mata), sehubungan itu pengurus tersebut berpuas hati dengan semangat pasukannya.

“Keletihan mula menghambat apabila kami kehilangan seorang pemain akibat dibuang padang. Kami terpaksa mencari gol penyamaan sedangkan kehilangan seorang pemain dalam baki 20 minit. 

"Tetapi pemain terus berusaha, mengambil risiko menerusi usaha yang hebat daripada semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

“Kami menerima tamparan hebat empat hari lalu (disingkirkan Manchester City dalam Liga Juara-Juara) sekalipun menyajikan permainan menarik.

"Ia bukan sesuatu yang mudah tetapi mereka ini memiliki personaliti, bangga dan bekerja keras.

"Kemudian kami mendapat manfaat daripada sepakan penalti itu dan Carrasco mempamerkan keberanian untuk menyempurnakannya."

Advertisement

Must Watch Video