Skip to main content

Bola Sepak

Selangor tidak rela skrip sama berulang

selangor_3.jpg
Jurulatih Selangor, P. Maniam, tidak rela kehampaan lalu terus menghantui anak buahnya yang sekali lagi bakal bertemu Terengganu, kali ini dalam pusingan ketiga Piala FA. 

Seiring dengan hasrat Selangor yang ingin mencipta kejayaan dalam Piala FA, Maniam tidak mahu Terengganu sekali lagi menjadi punca mereka hilang slot aksi suku akhir.

Pengalaman bulan lalu menyaksikan Sang Penyu cukup gah menafikan tiga mata penting buat Gergasi Merah dalam Liga Super (dibelasah 4-1), lantaran itu ia sudah cukup membuatkan barisan pemainnya berhati-hati dalam kunjungan kedua ke Kuala Terengganu nanti. 

"Jika dilihat, pemain-pemain Selangor harus lebih agresif dan fokus kerana ia melibatkan perlawanan kalah mati. 

"Mereka perlu bermain mendapatkan kemenangan untuk diberikan kepada pengurusan dan penyokong," katanya.

Sasaran Selangor ialah sekurang-kurangnya di peringkat separuh akhir sambil Maniam bergantung harap dengan kelibat pemain senior seperti Razman Roslan, Amri Yahyah dan Azamuddin Akil yang dijangka pulih daripada kecederaan susulan berehat hampir sebulan gara-gara masalah lutut. 

"Apa yang kami nampak, pemain-pemain muda tidak begitu yakin ketika pertembungan di Terengganu. 

"Dalam saingan Piala FA, kami akan memberi laluan kepada pemain senior. 

"Pemain muda yang telah bermain dalam beberapa aksi juga mungkin akan diturunkan," ujarnya.

Sentuhan duo Indonesia, Evan Dimas Darmono dan Ilham Udin Armaiyn, menjadi keutamaan Maniam selain Rufino Segovia dan Willian Pacheco yang dijangka mengetuai jentera serangan dan pertahanan.

Advertisement

Must Watch Video