Pasukan Selangor hari ini menerima khabar bahawa MFL bersetuju untuk mengurangkan denda yang dikenakan ke atas mereka berhubung kenyataan mengenai keputusan awal ahli lembaga pengarah badan bola sepak itu pada Rabu.

Hal ini berikutan keputusan MFL pada Rabu yang mengenakan 4 denda kepada pasukan Selangor akibat daripada keputusan menarik diri dan 'tidak hadir' pada perlawanan LS1 yang juga perlawanan Sumbangsih menentang JDT pada 10 Mei lalu.

Keputusan tersebut telah menjadi isu hangat dalam kalangan peminat dan penyokong bola sepak sehingga mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang turut merupakan penaung pasukan Selangor.

Justeru itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL hari ini telah bersidang dan bersetuju untuk mempertimbangkan semula keputusan yang telah dibuat berkenaan perkara ini. Pertimbangan semula ini dibuat sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Antara keputusan yang diambil ialah MFL bersetuju untuk memberikan pengurangan dan 'diskaun' denda daripada RM100,000 kepada RM60,000, pemotongan 3 mata dalam perlawanan Liga Super Malaysia 2024-2025 dibatalkan serta merta, dan larangan kemasukan penonton melibatkan Selangor menentang JDT pada perlawanan Liga Super 14 di Stadium MBPJ ditarik semula.

Namun begitu, MFL mengekalkan denda bayaran pampasan kerugian kepada pasukan JDT & MFL, di mana MFL akan mengumpulkan maklumat dan kos yang akan dikemukakan pasukan tuan rumah JDT dan pengelola liga MFL untuk semakan dan perbincangan lanjut.

Walaubagaimanapun, pasukan Selangor masih berpeluang untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut di mana tempoh yang dibenarkan adalah selama 3 hari daripada tarikh surat (27 Jun 2024) seperti yang termaktub dalam Aturan 4, Kaedah 3, Kaedah-kaedah Badan Penguatkuasa Peraturan, Manual Liga Malaysia.