LIGA SUPER MSIA
Selangor tanpa dua tonggak bertemu Sri Pahang
Selangor FC kehilangan khidmat dua pemain utama dalam misi mengakhiri badi tiga mata di laman lawan pada musim ini, menjelang perlawanan berdepan Sri Pahang FC malam ini.
Ketua jurulatih skuad Gergasi Merah, Michael Feichtenbeiner, mengakui ketiadaan Mukhairi Ajmal dan Zikri Khalili itu menjejaskan perancangan beliau terus cipta keputusan positif, apatah lagi skuad Tok Gajah kini kembali dibawah kendalian jurulatih berpengalaman, Dollah Salleh.
Zikri dan Mukhairi terlepas aksi Liga Super ke-12 malam ini apabila digantung satu perlawanan susulan kad merah dan dua kad kuning diraih pada perlawanan sebelumnya.
Iklan
Skuad bimbingan Feichtenbeiner merekodkan keputusan positif dalam empat perlawanan terakhir termasuk menyingkirkan Sabah dari saingan Piala FA untuk mara ke peringkat separuh akhir.
Sebelum ini, Selangor mencatat kemenangan ke atas Pahang dengan keputusan 3-1 dalam pertemuan pertama Liga Super April lalu.
"Kami akan cuba memberikan fokus kepada permainan kami. Kami bagaimanapun tetap menghormati kemampuan Sri Pahang, mereka telah bermain dengan baik dalam perlawanan sebelum ini," katanya.
Biarpun Sri Pahang kini berada di kedudukan dua tercorot liga, jurulatih dari Jerman berkenaan mengakui tuan rumah bakal memberi kesukaran kepada anak buahnya, apabila melihat peningkatan skuad Tok Gajah selepas Dollah kembali sebagai ketua jurulatih.
"Kami telah mengatasi mereka dalam perlawanan pertama, dengan kehadiran Dollah Salleh, seorang pengendali yang berpengalaman dan amat mengenali Liga Super, kami tetap turun mendapatkan kemenangan dalam perlawanan ini," kata Dollah.
Must-Watch Video