Skip to main content

Bola Sepak

Selamat datang Emery ke Stadium Emirates

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

unai-emery.jpg
Arsenal menamakan bekas pengurus Sevilla dan Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery, sebagai ketua jurulatih kelab itu hari ini.

Emery menamatkan tugasan selama dua tahun bersama PSG sebagai pemenang tiga kejuaraan domestik musim ini, namun gagal menjuarai Liga Juara-Juara (UCL) seperti yang dikehendaki oleh pemilik kelab yang berasal dari Qatar itu.

Pengurus berusia 46 tahun itu menikmati tempoh hebat di Sevilla dengan memenangi Liga Europa tiga musim berturut-turut dari 2014 hingga 2016 -- satu pertandingan yang Arsenal akan bersaing sekali lagi selepas menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga keenam musim ini. 

Ia menandakan berakhirnya era 22 tahun Arsene Wenger dan tugas utama Emery adalah membawa semula mereka dalam saingan UCL.

"Saya gembira dapat menyertai salah sebuah kelab hebat dalam sukan ini," menurutnya dalam satu kenyataan. "Arsenal terkenal dan disayangi di seluruh dunia atas gaya permainan, komitmennya terhadap pemain muda, stadium yang hebat dan cara kelab itu diuruskan.

"Saya sangat teruja diberi tanggungjawab untuk memulakan bab baru yang penting dalam sejarah Arsenal."

Jawatan Emery adalah sebagai ketua jurulatih -- bertentangan dengan pengurus -- kerana adalah penting untuk menunjukkan bahawa dia perlu berkompromi dengan struktur bola sepak Arsenal, termasuk ketua rekrut, Sven Mislintat, dan ketua perhubungan bola sepak, Raul Sanllehi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Arsenal, Ivan Gazidis: "Unai mempunyai rekod pencapaian cemerlang sepanjang kariernya dan pernah mengembangkan beberapa bakat muda terbaik di Eropah dan memainkan gaya bola sepak progresif yang sesuai dengan Arsenal.

"Pendekatannya yang gigih dan penuh semangat serta nilai-nilainya di atas dan di luar padang menjadikannya sebagai individu ideal untuk membawa kami ke hadapan."

Banyak nama telah dikaitkan sebagai pengganti Wenger, termasuk bekas ketua pasukan Arsenal, Mikel Arteta dan Patrick Vieira selain pengurus Juventus, Massimiliano Allegri, dan bekas jurulatih Barcelona, ​​Luis Enrique.

Begitupun, Gazidis berasakan Emery akan turut terbabit dalam proses pembelian pemain. Namun, belum ada pengesahan kontrak oleh kelab itu tetapi difahamkan selama dua tahun dengan pilihan untuk melanjutkannya semusim lagi.

"Kami menjalankan pencarian sulit, luas dan ketat yang merujuk latar belakang, analisis data dan video serta pertemuan peribadi dengan semua calon yang kami pilih," kata Gazidis.

"Semua calon berminat dengan jawatan ini dan kami sebulat suara memilih Unai untuk membawa bab seterusnya dalam sejarah kami."

Sebelum mengemudi Sevilla dan PSG, Emery sempat bertanggungjawab ke atas Almeria, Valencia dan Spartak Moscow.

"Saya teruja dengan apa yang boleh kami lakukan bersama dan saya berharap dapat memberikan kepada pencinta Arsenal beberapa detik dan kenangan istimewa," tambah Emery.

Pemilik saham majoriti Arsenal, Stan Kroenke, berkata: "Kami gembira untuk mengalu-alukan Unai ke Arsenal. Dia adalah juara yang terbukti.

"Kami yakin dia adalah orang yang tepat untuk tugas ini dan dia akan berusaha untuk menyampaikan kejayaan kepada peminat, kakitangan dan setiap orang yang peduli dengan Arsenal."

Advertisement

Must Watch Video