PIALA DUNIA
Schmeichel, Eriksen tawarkan kritikan pedas terhadap VAR
Kasper Schmeichel mempersoalkan sama ada Video Bantuan Pengadil (VAR) patut digunakan selepas Denmark terikat 1-1 dengan Australia dalam aksi Piala Dunia 2018, malam tadi.
Anak buah Age Hareide itu mendahului 1-0 menuju waktu rehat dalam pertemuan Kumpulan C di Samara itu ketika bola tandukan Mathew Leckie mengenai tangan Yussuf Poulsen.
Pada mulanya, pengadil, Antonio Miguel Mateu Lahoz, memberi isyarat supaya permainan itu diteruskan. Bagaimanapun, beberapa saat kemudian -- setelah permainan bersambung -- dia memilih untuk merujuk kepada VAR.
Iklan
Pengadil kelahiran Sepanyol itu kemudian menghadiahkan sepakan penalti lalu mencetuskan rasa tidak puas hati Schmeichel dan penjaga gol Leicester City itu semakin tidak keruan apabila gagal membaca tendangan Mile Jedinak.
"Saya fikir ia (keputusan penalti itu) mempengaruhi permainan dengan cara sendiri, saya fikir ia keputusan yang sangat keras," kata Schmeichel kepada wartawan.
"Saya tidak tahu apa lagi yang boleh dilakukan Poulsen dalam keadaan itu, dia melompat dan adalah biasa lengan terangkat sedikit. Bola itu menuju ke lengannya dari jarak setengah meter sehingga saya tidak tahu bagaimana penalti boleh diberikan, namun malangnya pengadil melihatnya secara berbeza.
"Jika anda akan memberikan keputusan seperti itu, maka secara umumnya anda akan menghadapi banyak penalti.
"Saya fikir kaedah VAR perlu ditambah baik, saya tidak fikir ia sepatutnya diperkenalkan buat masa sekarang. Saya fikir ada masannya ia memberi manfaat, namun sudah dua perlawanan berturut-turut kami mendapat keputusan buruk VAR.
"Saya fikir situasi yang menyaksikan Andreas Cornelius cuba untuk terus berdiri, barangkali dia terlalu jujur dan sepatutnya dikurniakan penalti, tetapi dia seorang yang jujur dan dia cuba untuk bertahan.
"VAR mungkin dapat membantu dalam situasi itu. Sepakan percuma yang diberikan Yussuf Poulsen membawa kepada tendangan sudut yang mengakibatkan kami dibolosi... seseorang perlu memberitahu pengadil itu bahawa ia keputusan yang buruk."
Christian Eriksen, yang meletakkan pasukannya di hadapan dengan gerakan hebat dalam tempoh tujuh minit, turut berasakan Socceroos beruntung untuk diberikan sepakan penalti itu.
"Mereka bernasib baik dengan keputusan itu," katanya. "Saya belum melihat rakamannya lagi tetapi saya telah bercakap dengan Yussuf dan rakan-rakan yang lain. Sudah tentu ia bola terkena tangan di dalam kawasan penalti tetapi ia bukanlah dalam keadaan luar biasa.
"Sudah tentu anda akan menggunakan tangan ketika melompat tetapi keputusannya mestilah betul dan mungkin ia terlalu betul."
Must-Watch Video



