Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Saya tidak sepatutnya dapat kad kuning -- Bale

suspended-bale-didn-t-even-go-for-a-tackle-.jpg
REPUBLIK IRELAND 0 WALES 0 

Gareth Bale berasakan kad kuning yang dilayangkan ke atasnya sebagai tidak adil dan secara tidak langsung akan tersisih daripada skuad Wales untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia akan datang bertemu Serbia.

Perlawanan menentang Republik Ireland di Dublin pada awal pagi tadi itu buntu tanpa jaringan, iaitu keputusan seri keempat berturut-turut Wales dalam saingan Kumpulan D sehingga menyebabkan mereka kini ketinggalan empat mata di belakang pasukan tuan rumah dan Serbia -- di mana mereka akan bertemu pada Jun nanti.

Penggantungan Bale itu menjadi isu besar untuk diatasi Chris Coleman, namun bintang Real Madrid itu menegaskan dia tidak melakukan sebarang kekasaran selepas diberi amaran oleh pengadil, Nicola Rizzoli, ekoran terjahan ke atas John O'Shea.

"Saya bukan melakukan terjahan, saya mahu membuat percubaan dan merebahkan badan untuk menyentuh bola dan dalam usaha itu dia yang menendang saya, kemudian kami bertembung," ujar Bale kepada Sky Sports. 

"Secara jujurnya, saya tidak fikir saya berhak mendapat kad kuning tetapi pengadil telah membuat keputusan, apa yang boleh saya lakukan?"

Permainan itu, bagaimanapun, dicemari insiden yang mahu dielakkan -- hanya seminit selepas Bale dihukum -- apabila terjahan Neil Taylor ke atas Seamus Coleman menyebabkan dia diperintah keluar padang manakala pemain pertahanan Everton itu patah kaki. 

Bale menambah: "Jelas sekali kami tidak ingin ia terjadi kepada sesiapa jua dan saya tidak pasti sejauh mana kecederaan itu, namun kami berharap semoga dia cepat pulih."

Bercakap mengenai pertandingan yang tidak memberangsangkan di Stadium Aviva itu, Bale gembira dengan usaha Wales dan berasakan satu mata mungkin bukan keputusan yang buruk.

"Kami sedar mereka akan mengetengahkan permainan seperti ini dengan menjadikan kami sukar untuk mendapatkan bola," katanya lagi.

"Dalam separuh pertama, mereka berjaya melakukannya. Namun dalam babak kedua, saya fikir kami mengawal permainan dengan baik. 

"Kami mencipta beberapa peluang menarik, saya fikir kami tidak bernasib baik untuk menyumbat gol, tetapi saya berasakan jika anda melihat aksi dalam 20 minit terakhir dan beraksi dengan 10 pemain serta mampu meraih keputusan 0-0, maka satu mata bukanlah keputusan yang paling teruk. 

"Tetapi jelas sekali kami kecewa tidak mendapat merakam kemenangan.

"Kami semua bekerja keras di luar sana dan itu sahaja yang boleh kami lakukan."

Advertisement

Must Watch Video