Skip to main content

Bola Sepak

Saya boleh buat video kegagalan setiap penyerang - Tuchel pertahan Werner

timo-werner_1.jpg
Thomas Tuchel mempertahankan Timo Werner di sebalik kemarau gol berpanjangan penyerang Chelsea itu.

Werner hanya menjaringkan lima gol dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan gagal menemui sasaran dalam 10 perlawanan terakhir peringkat kelab dan negara sejak kali terakhir melakukannya ke atas Newscastle United pada 15 Februari lalu.

Aksi buruknya itu menarik perhatian menerusi kegagalannya menyudahkan peluang ketika Jerman tewas kepada Macedonia Utara minggu ini.

Tetapi Tuchel mempertahankan Werner dalam sidang medianya menjelang perlawanan EPL menentang West Brom malam ini, di mana dia turut menegaskan bahawa penyerang itu akan turun sebagai kesebelasan utama.

Tuchel turut memberikan penjelasan lanjut berkenaan apa yang perlu diperbaiki Werner untuk menamatkan kemaraunya.

Pengurus The Blues itu turut berkata bahawa masalah itu merupakan perkara biasa dan dia boleh mengumpulkan setiap kegagalan yang dilakukan penyerang dalam bola sepak.
 
Tuchel berkata kepada wartawan: "Amat natural untuk dia berasa selamat di sini. Dia tahu apa yang kami dan rakan sepasukannya mahukan daripadanya.

"Ia bukan satu keadaan di mana kami takut untuk bercakap mengenai sesuatu perkara. Kami meletakkan segala-galanya sebagai satu pasukan untuk memenangi perlawanan bola sepak tetapi kami berkelakuan seperti satu keluarga, kami membentangkan setiap perkara di atas meja dan melihatnya dengan jujur.

"Saya tidak mahu melihat peluang yang dimilikinya ketika berdepan Macedonia Utara.

"Daripada setiap penyerang di seluruh dunia, saya pasti saya boleh menjadikan satu video daripada kegagalan terbesar mereka kerana ia perkara normal, terdapat kegagalan yang besar dalam karier seorang penyerang, jadi mengapa anda perlu melihatnya, bercakap mengenainya setiap masa?

"Dia berasa selamat di sini. Ia bukan kerana keadaan atau situasi di mana kami akan memeluknya dan berkata ia tidak mengapa tetapi ia juga bukan satu momen untuk semua jari menuding kepadanya setiap masa.

"Kebenarannya, situasi ini bukanlah momen paling gembira dalam kariernya tetapi ia juga bukanlah terlalu buruk seperti yang semua orang bayangkan atau mungkin seperti Timo rasakan setiap kali dia membuka akhbar atau internet.

"Jadi, jangan lakukannya, lihatlah pada sudut positif. Kita sudah mencapai tahap di mana ia sudah memadai untuk tidak berlebih-lebihan atau melakukan latihan tambahan atau penyudah. Bergantung kepada otak anda; badan anda akan mengingati bagaimana untuk menjaringkan gol secara semula jadi.

"Untuk menemui zon itu, ia mungkin perkara paling sukar untuk dilakukan dan paling mudah untuk diperkatakan tetapi ia sememangnya seperti itu. Dia akan memulakan perlawanan ini untuk kami, mengapa tidak? Amat jelas dia adalah penyerang kami, dia pemain nombor sembilan kami, jadi teruskan," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video