BOLA SEPAK
Sathianathan: Lima pemain sertai skuad negara bukti Selangor masih relevan
Lima pemain dalam senarai skuad kebangsaan -- ia sudah cukup membuktikan Selangor bukan sekadar pasukan tanpa kualiti, namun ada kegusaran dalam bangga jurulatihnya B. Sathianathan, dengan perkembangan terbaru itu.
Selepas lima aksi Liga Super, Selangor belum melakar sebarang kemenangan (tiga seri, dua kalah) serta berada di tangga ke-10.
Kekalahan terbaru kepada penyandang juara, Johor Darul Ta'zim (JDT), 4-2 di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu, menghadirkan kebimbangan buat masa depan pasukan itu serta cabaran yang perlu ditempuh bagi musim 2019.
Iklan
Bagaimanapun, dalam pada mereka mengharungi prestasi hambar, lima pemain daripada skuad Gergasi Merah itu dipanggil menyertai saingan Piala Airmarine bersama skuad kebangsaan serta kelayakan Kejohanan AFC B-23 2020.
Syazwan Zainon, Abdul Latiff Suhaimi, Faiz Nasir dan Abdul Halim Saari dipilih menyertai kem latihan skuad Tan Cheng Hoe sementara Muhammad Syahmi Safari bersama skuad B-23 negara kendalian Datuk Ong Kim Swee.
Bagi Sathianathan, ia membuktikan Selangor masih lagi memiliki barisan pemain berkualiti dan berharap peluang itu tidak dibazirkan pemain-pemain untuk mencipta keputusan yang positif.
"Ini merupakan satu kebanggaan buat pasukan. Pemain-pemain telah membuktikan kebolehan untuk dipanggil menyertai skuad kebangsaan. Saya berharap mereka akan menggunakan peluang untuk meningkatkan lagi prestasi," kata Sathianathan.
Must-Watch Video