Pengendali Sarawak, David Usop, masih menaruh keyakinan tinggi untuk kekal dalam Liga Super meskipun The Crocs kempunan tiga mata bertemu Felda United pada Sabtu.
"Kami akan beraksi di laman sendiri berdepan PDRM (22 Oktober). Saya yakin dengan pemain saya untuk mendapat sekurang-kurangnya satu mata bagi memastikan kami kekal dalam saingan Liga Super," jelasnya.
Selepas terlebih dahulu ketinggalan oleh jaringan Gilberto, Sarawak bangkit menyumbat tiga gol menerusi Tommy Mawat Anak Bada, Nur Syamie Iszuan Amin dan Gilmar Da Silva di Stadium Tun Razak, Jengka.
Di depan 3-1 pada babak pertama, skuad Ngap Sayot, bagaimanapun, gagal mempertahankan kelebihan itu apabila dibolosi dua gol pada babak kedua.
Lutfulla Turaev muncul penyelamat The Fighters apabila meledak gol pada lewat permainan untuk kedudukan 3-3 hingga tamat sepenuh masa.
"Kalau kami menang berdepan Felda United, kami sudah tentu mengekalkan tempat dalam Liga Super.
"Tetapi itu tidak berlaku, jadi kami masih perlu bekerja keras dalam perlawanan terakhir. Apa pun, saya yakin anak buah saya mampu melakukannya," tambahnya.