Skip to main content

Bola Sepak

Sang Penyu tidak pandang mudah cabaran Kuala Lumpur

terengganu.jpg
Terengganu FC (TFC) enggan dilabel pasukan pilihan dalam aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur di Cheras, malam esok, sebaliknya menyifatkan peluang seimbang buat kedua-dua pasukan mengutip tiga mata.

Pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim, berkata skuad ibu kota itu memiliki rekod baik di tempat sendiri, sekali gus menjanjikan tentangan sengit kepada TFC yang berhasrat meneruskan rentak kemenangan.

Justeru, Irfan mengingatkan pemain-pemainnya agar tidak memandang mudah cabaran yang bakal diberikan Kuala Lumpur walaupun mengakui berharap TFC mengekalkan momentum dan semangat juang tinggi dalam perlawanan itu.

"Kuala Lumpur beraksi cukup baik di Cheras, malah menewaskan Kelantan, PKNS, Kedah serta JDT di hadapan penyokong sendiri.

"Tiga kemenangan berturut-turut telah melonjakkan moral Terengganu dan ia satu petanda positif. Namun, pemain-pemain saya tidak boleh memandang pasukan lawan hanya sebelah mata," jelas Irfan.

Kehadiran semula tonggak berpengaruh, Lee Andrew Tuck, daripada penggantungan juga disambut gembira Irfan yang memiliki ramuan tersendiri bagi memastikan Sang Penyu menguasai jentera tengah.

Abdul Malik Mat Ariff turut dijangka akan terpilih dalam skuad 18 pemain selepas pulih daripada kecederaan manakala Mohd Shahrul Aizad masih tersenarai dalam senarai tercedera.

"Semua pemain perlu bersedia untuk diturunkan dan rentak kemenangan ini perlu diteruskan.

"Selain itu, pergerakan (Guilherme) De Paula dan (Paulo) Josue harus diberi perhatian dan tidak membenarkan mereka bergerak bebas," ujarnya lagi.

Advertisement

Must Watch Video