Sama ada dalam tempoh 90 minit atau penentuan penalti, ketua pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim, menerima apa sahaja bentuk kemenangan yang akan menamatkan penantian bergelar juara Piala Malaysia.
Kesudahan dua edisi Piala Malaysia terakhir memiliki cerita berbeza. Pada 2015, Gergasi Merah Kuning memutlakkan kemenangan dalam tempoh 90 minit ke atas skuad Hijau Kuning, sementara penalti menjadi pemisah dalam pertemuan ulangan edisi 2016 yang memihak kepada Kedah.
Safiq berasakan JDT memiliki kemampuan untuk berdepan apa jua senario, termasuk keperluan mental dan fizikal untuk beraksi dalam pertembungan yang sengit.
"Kami sudah bersedia dalam semua sudut, saya berharap kami akan memberikan yang terbaik sama ada dalam tempoh 90 minit atau penentuan penalti.
"Saya berharap tuah akan memihak kepada JDT. Apa yang penting sebagai pemain, kami akan menjalankan tugas 100 peratus.
"Tidak kira dalam 90 minit atau sepakan penalti, kami mahukan keputusan yang positif," katanya menjelang sepak mula, malam esok.
Pemain tengah itu yang akan bertindak sebagai kapten sentiasa memainkan peranan penting, sama ada positif atau sebaliknya.
"Mungkin yang membezakan adalah objektif perlawanan. Peranan kami sebagai pemain dan motif permainan akan tetap sama.
"Jadi, kami akan memberikan yang terbaik," katanya lagi.
Stadium Shah Alam telah menjadi saksi kepada kejayaan gergasi dari utara, Kedah, tahun lalu dan peluang menjejakkan kaki di venue sama memberi suntikan motivasi yang tidak kurang bezanya demi misi sama, tahun ini.
"Kami tetap tenang sebab kami pernah memegang piala ini. Apapun, kami berhasrat untuk mempertahankan Piala Malaysia di Kedah," kata pemain pertahanan, Khairul Helmi Johari.
Aura sama yang ingin dirasai kapten berusia 29 tahun itu seperti pentas final Piala FA, Mei lalu. Bezanya kali ini adalah pencabarnya selain sedar dengan misi JDT yang mahu mencalarkan sejarah yang pernah diraih Kedah di Shah Alam.
"Dari segi permainan, ia kelihatan seimbang dalam dua pertembungan kami musim ini.
"Dalam perlawanan akhir, jangkaan kemenangan itu sememangnya tinggi. Pasukan yang menampilkan aksi terbaik akan menang," tambahnya.
Penulis Jemputan
Fri Nov 03 2017