Ketua pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim, berterima kasih kepada rakan sepasukan di atas kerjasama tinggi hingga sejarah tercipta dengan menjulang kejuaraan hatrik Liga Super.
Meskipun Safiq tidak turun beraksi dalam perlawanan berdepan T-Team pada Sabtu, namun dia bangga melihat rakan sepasukan cemerlang untuk menang 5-1.
Pasukan mana yang tidak mahu meraikan kejuaraan menjulang trofi Liga Super dengan kemenangan terlebih dahulu dan JDT berjaya memuaskan hati penyokong yang hadir dengan jaringan lima gol.
Trofi yang disampaikan secara rasmi oleh Presiden Kelab JDT, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, kepada Safiq selaku kapten menjadi simbolik bermakna buat pasukan itu atas penat-lelah mereka.
"Alhamdulilah, kami sebagai pemain menjalankan tugas dengan baik. Kami semua telah berikan 100 peratus dan saya harap momentum ini dapat dikekalkan.
"Kami mendahagakan lagi kejayaan pada masa akan datang," jelasnya.
Cukup untuk seketika menyambut kemenangan, kerana tegas Safiq, skuad itu ada misi yang sangat penting untuk merebut slot ke final Piala AFC dalam aksi separuh akhir pada 28 September ini.
"Selepas ini, kami akan mula fokus kepada saingan Piala AFC. Saya harap kami akan mendapat keputusan separuh akhir pertama yang baik di Larkin," tambahnya.