Sabah menganggap Polis Diraja Malaysia (PDRM) sama seperti pasukan lain yang mampu memberi ancaman walaupun pasukan itu kini berada di tangga tercorot Liga Perdana tanpa sebarang kemenangan.
Ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating, berkata, skuad kendaliannya itu akan tetap bermain habis-habisan apabila melayan kunjungan The Cops di Stadium Likas malam esok bagi memastikan mereka tidak dimalukan di halaman sendiri.
Advertisement
"Kami menganggap PDRM sama dengan pasukan lain dan akan bermain habis-habisan bagi mengatasi mereka walaupun kini pasukan itu masih belum mencatat sebarang kemenangan serta berada di kedudukan tercorot," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.
Jelius berkata dia mungkin akan membuat sedikit perubahan taktikal berikutan kehadiran semula penyerang import,Luis Carlos Junior, yang telah pulih daripada kecederaan.
"Junior akan menggantikan tempat Ricco (Nigel Milus) yang terpaksa direhatkan kerana digantung perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning.
"Dengan kemasukan Junior, kami mungkin membuat sedikit perubahan taktikal mengikut kesesuaian serta kemampuan pemain," katanya.
Tambah Jelius, selain memasukkan semula Junior bagi menggantikan Ricco, dia akan mengekalkan kesebelasan utamanya sebelum ini.