LIGA SUPER MSIA
Sabah FC tidak boleh leka lagi
Sabah FC giat melakukan persiapan rapi menjelang perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang FC di Stadium Likas, Sabtu ini.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, berkata Sabah perlu memastikan tiga mata dapat dikutip di depan penyokong The Rhinos.
Malah, katanya pemain The Rhinos perlu lebih fokus dan paling penting mengelak melakukan sebarang kesilapan yang menjejaskan peluang pasukan mencatat kemenangan.
Iklan
“Ya, Sri Pahang memiliki kelebihan berdasarkan prestasi terbaik serta konsisten meskipun bermain di tempat lawan atau di laman sendiri, namun kami mampu memberikan tentangan sengit dalam perlawanan itu.
“Paling penting pemain Sabah tidak boleh memberikan ruang kepada Sri Pahang untuk menguasai permainan, matlamat Sabah ialah untuk mencapai keputusan positif Sabtu ini.
“Berdepan Kuching City sebelum ini menyaksikan Sabah hampir mendapatkan satu mata, namun kesungguhan pemain membolehkan kami meraih kemenangan harus diberikan pujian,” katanya.
Dalam pada itu, Kim Swee berkata, setakat ini Telmo Castanheira dan Miguel Ángel Garrido Cifuentes masih cedera, namun tidak menjejaskan persiapan menjelang perlawanan.
“Kami ada beberapa hari lagi sebelum bermain bertemu Sri Pahang. Saya berharap mereka akan sempat pulih serta membantu pasukan.
“Kami perlu memastikan supaya Sabah mempunyai pemain yang mencukupi serta seimbang dalam menghadapi perlawanan akan datang,” jelasnya.
KRedit: Sinar Harian
Must-Watch Video