Skip to main content

Bola Sepak

Russia, Uruguay tentukan juara Kumpulan A

russia.jpg
Stanislav Cherchesov dan Oscar Tabarez perlu membuktikan kemampuan dalam pertembungan di antara Uruguay dan Russia di Samara, Isnin ini. 

Kedua-dua pasukan merakamkan dua perlawanan terawal -- dalam situasi berbeza -- dan sudah mengesahkan tempat dalam pusingan 16.

Andrei Kanchelskis mungkin menyifatkan persiapan pemanas badan Russia sebagai paling teruk yang pernah disaksikannya.

Namun, tanggapan negatif itu tidak mengendurkan semangat Cherchesov yang menyaksikan anak buahnya melepasi cabaran Kumpulan A berdepan Arab Saudi 5-0 pada malam pembukaan sebelum menundukkan Mesir serta Mohamed Salah untuk mengumpul enam mata daripada dua perlawanan. 

Sebaliknya, Uruguay mempamerkan persembahan kurang menghibur dan meyakinkan.

Meskipun menang ke atas Mesir serta Arab Saudi, pasukan kendalian Tabarez itu tetap ingin membuktikan sesuatu dalam aksi terakhir kumpulan. 

Setakat ini, kelemahan ketara mereka adalah di bahagian tengah dengan tonggak Sampdoria, Lucas Torreira, dimasukkan dalam situasi tertentu setelah persembahan berkesan ketika menentang Arab Saudi.

Sementara itu, wakil Amerika Selatan berkenaan perlu memutuskan sama ada untuk merehatkan dua penyerang, Luis Suarez dan Edinson Cavani, sementara pertahanan kental, Jose Gimenez dan Diego Godin, mungkin dipertimbangkan untuk direhatkan menjelang ujian lebih sukar nanti -- Sepanyol atau Portugal berkemungkinan besar menanti dalam pusingan berikutnya. 

Bagi Russia, semangat meluap-luap mereka perlu dikekalkan -- selain mendapat dorongan daripada seluruh negara -- sambil menawarkan peluang kepada beberapa pemain simpanan.

Pemain pertahanan, Yuri Zhirkov, merupakan salah seorang pemain yang mungkin direhatkan meskipun baru pulih daripada kecederaan selepas mempamerkan ketenangan merantai Salah dalam kemenangan 3-1, Selasa lalu. 

Doktor pasukan, Eduard Bezuglov, berkata: "Selepas perlawanan menentang Arab Saudi, Yuri mengalami kecederaan tendon kaki. Dia melaksanakan tugas dengan baik, melakukan semua yang diperlukan oleh doktor.

"Semua orang mengagumi Salah atas bagaimana dia kembali selepas kecederaan bahunya dalam tempoh sebulan. Percayalah, Zhirkov menghadapi masalah sekurang-kurangnya situasi hampir sama seperti Salah, namun dia tetap meneruskan permainan serta membuktikan tahap terbaiknya.

"Kini, dia sudah pulih dan akan bersedia untuk perlawanan seterusnya."

Pemain-pemain Russia jelas menikmati status baru sejak dikecam hebat sempena persiapan Piala Dunia yang menyaksikan Aleksandr Golovin dihujani pujian. 

Dia memberitahu FIFA.com: "Atmosfera Piala Dunia tidak dapat dibandingkan dengan apa-apa. Ia hanya kegilaan.

"Malah, perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) menentang kelab-kelab besar seperti Manchester United tidak dapat dibandingkan dengan saingan ini. Sudah tentu kerana Piala Dunia berada di negara kami, kebanyakan peminat menyokong kami dalam setiap perlawanan.

"Sangat seronok melihat sokongan penuh bersemangat ini, stadium penuh dalam setiap perlawanan. Ini yang diperlukan oleh kami."

Advertisement

Must Watch Video