Skip to main content

Bola Sepak

Russia berpesta gol dalam pembukaan

russia.jpg
RUSSIA 5 ARAB SAUDI 0

Tuan rumah, Russia memulakan kempen Piala Dunia dengan kemenangan bergaya 5-0 ke atas Arab Saudi dalam aksi sulung Kumpulan A di Stadium Luzhniki, Moscow, sebentar tadi.


Russia, yang gagal menempah kemenangan dalam lima perlawanan Piala Dunia (dua seri, tiga tewas), menggunakan peluang berdepan Arab Saudi untuk kembali melakar kemenangan di pentas tertinggi ini.

Pada minit ke-12, Yuri Gazinskiy menanduk masuk gol pertama Russia dan kejohanan dengan menewaskan penjaga gol, Al-Mayoof.

Walaupun menyedari Russia merupakan pasukan pilihan dalam perlawanan ini, ia tidak mematahkan semangat Arab Saudi untuk terus melancarkan serangan tetapi tekanan dilakukan Russia merencatkan gerakan skuad kendalian Juan Antonio Pizzi itu.

Sebelum tamat separuh masa pertama, kealpaan benteng pertahanan Arab Saudi dihukum Russia apabila menambah jaringan menerusi pemain gantian, Denis Cheryshev.

Artem Dzyuba menjaringkan gol ketiga buat Russia selepas menanduk hantaran Aleksandr Golovin sebelum Cheryshev menggandakan jaringan dalam masa kecederaan.

Kemenangan bergaya Russia disempurnakan oleh Golovin menerusi sepakan percuma pada minit-minit akhir perlawanan.

Untuk rekod, kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertembung ialah pada tahun 1993 dalam aksi persahabatan yang menyaksikan Arab Saudi mencipta kemenangan 4-2.
 

Advertisement

Must Watch Video