Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Bola Sepak

Ruhaled: Ketumpulan jentera serangan sekat hajat Gua Musang

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ruhaled-gua-musang-090917.jpg
Hajat juara bertahan, Gua Musang, untuk memburu kemenangan pertama berkecai apabila sekadar seri 0-0 dengan Setiu Tiger dalam aksi pembukaan Kumpulan D, Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) musim 2017-2018 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Dua faktor dikenal pasti, iaitu kegagalan pemain menguasai bola dan ketumpulan jentera serangan menyebabkan Gua Musang terpaksa berputih mata di gelanggang sendiri. 
 
Ketua jurulatih Gua Musang, Ruhaled Abd Hamid, berkata pemainnya gagal menunjukkan kemampuan sebenar dan bernasib baik dapat memungut satu mata biarpun Setiu Tigers cukup mengancam melalui corak persembahan menarik.

"Perlawanan pertama selalunya sukar kerana pemain masih cuba menyesuaikan diri dengan permainan. Beraksi sebelah malam juga menyebabkan pemain gagal memberikan aksi terbaik. 

"Kami banyak memberi ruang kepada Setiu Tigers untuk menguasai bola.

"Beraksi tanpa kapten (Nirzamri Jusoh) dan Mohd Erham (Ibrahim) yang mengalami kecederaan menyebabkan kami menghadapi masalah untuk menguasai permainan dan Setiu Tigers cukup berbahaya dengan serangan balas,” katanya.

Dalam aksi semalam, Setiu Tigers hampir mendapatkan gol pembukaan melalui gerakan solo kaptennya, Mohammad Hafizuddin Hashim, yang berjaya menewaskan dua pertahanan Gua Musang sebelum melepaskan rembatan kencang yang diselamatkan penjaga gol, Muhamad Nor Amin Mat Gani, pada minit ke-35.

Bersambung babak kedua, anak buah Ruhaled terpaksa menahan asakan pasukan pelawat dan peluang terbaik mereka hadir lagi melalui sepakan percuma yang diambil pemain tengah, Mohd Fahilmi Rusni, pada minit ke-60, namun sedikit melewati palang gol.

Gua Musang berjaya memecahkan kebuntuan tetapi malangnya, jaringan Mohamad Azli Mat pada minit ke-66 dibatalkan pengadil perlawanan, Mohd Hasrol Mohd Amir, kerana ofsaid.

Selepas aksi itu, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun ketumpulan jentera serangan menyebabkan hanya satu mata mampu diraih.
 

Advertisement

Must Watch Video