Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Rowley: TRW bukti kekuatan mental, bangkit selepas ketinggalan

rowley.jpg
Selepas bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat tuan rumah, UiTM FC, 3-3 di Shah Alam Jumaat lalu, pemain tengah Kelantan, David Rowley, percaya The Red Warriors (TRW) memiliki kekuatan mental yang tinggi untuk mencabar pasukan kelompok teratas Liga Perdana selepas ini. 

Rowley yang berdarah kacukan Malaysia-Australia berjaya membentuk gandingan tengah mantap bersama Flavio Beck Junior dan Nik Akif Syahiran Nik Mat melancarkan serangan bertali arus ke arah gawang The Lion Troops bagi mencari gol semangat selepas ketinggalan 0-2 kepada skuad kendalian Ismail Zakaria itu.

"Satu perlawanan yang menarik dan kami bangkit tepat pada masanya selepas ketinggalan 2-0.

"Pemain simpanan memberikan impak besar dan kami mendominasi keseluruhan permainan dalam babak kedua.

"Sedikit kelekaan selepas mendahului 3-2 tetapi secara keseluruhannya aksi ini membuktikan pemain memberi reaksi positif dari segi mental untuk terus bersaing," katanya.

Rowley, yang pernah bergandingan dengan Junior semasa mewakili Negeri Sembilan dalam Liga Super musim lalu, percaya TRW mampu menjadi pencabar kejuaraan Liga Perdana jika memiliki semangat sebegini dan tidak mudah mengaku kalah sehingga wisel penamat dibunyikan.

"Ketua jurulatih (Marko Karljevic) sudah berikan yang terbaik semasa latihan. Segala strategi yang dilakukan kami dapat lakukan dalam aksi sebenar dan saya yakin kami mampu pergi jauh.

"Kami sudah hampir balik ke Kota Bharu dengan tiga mata tetapi penyerang import UiTM FC,  Zarko Korac, membuktikan kehebatan melalui gol penyamaan selepas dua minit kami di depan," tambah Rowley.

Ditanya aksi seterusnya menentang Terengganu FC II ( TFC II) di laman sendiri hujung bulan ini, Rowley yakin TRW mampu meningkatkan prestasi untuk memburu kemenangan kedua liga.

"Kami perlu ambil kesempatan untuk memburu tiga mata menentang TFC II. Tambahan pula, kami beraksi di gelanggang sendiri."

Keputusan seri 3-3 dengan UiTM FC menyaksikan TRW berada di tangga kesembilan liga dengan lima mata hasil daripada satu kemenangan dan dua kali seri.

Kredit Foto: Abe Jera

Advertisement

Must Watch Video