PIALA DUNIA
Ronaldo cipta rekod jaringan terbanyak pemain Eropah
Cristiano Ronaldo muncul penjaring terbanyak dari Eropah di peringkat antarabangsa selepas menjaringkan gol tunggal kemenangan Portugal ketika berdepan Maghribi, sebentar tadi.
Bintang Portugal itu menjaringkan gol seawal minit keempat perlawanan ketika aksi Kumpulan B di Moscow, sekali gus melepasi rekod bekas penyerang Hungary, Ferenc Puskas, menerusi gol ke-85 dalam penampilan ke-152 buat Portugal.
Sebelum ini, dia menyamai catatan 84 gol yang dipegang Puskas setelah menyempurnakan sepakan percuma dan melengkapkan hatrik ketika berdepan Sepanyol yang berkesudahan 3-3, Jumaat lalu.
Iklan
Tonggak Real Madrid itu kini menduduki tangga kedua carta penjaring terbanyak dunia, namun masih jauh di belakang pendahulu dari Iran, Ali Daei, yang menyumbat 109 gol daripada 149 penampilan.
Jaringan bertemu Maghribi itu juga membolehkan Ronaldo kembali bersaing bagi anugerah Kasut Emas dalam edisi Piala Dunia kali ini, selepas pemain Russia, Denis Cheryshev, menyamakan kedudukan sewaktu negara tuan rumah itu menundukkan Mesir 3-1, semalam.
Must-Watch Video



