Perlawanan minggu kedua Liga Super 2026/27 membabitkan Kuala Lumpur (KL) City dilaporkan berkemungkinan ditangguhkan susulan beberapa pemain disahkan dijangkiti wabak influenza.
Terdahulu, skuad Warga Kota itu tidak dapat beraksi dalam aksi pembukaan saingan liga berdepan Negeri Sembilan di Paroi selepas ditunda susulan kekurangan pemain dan kehilangan beberapa pegawai pasukan susulan wabak itu.
KL City dijadualkan akan berdepan Kuching City esok.
Pengerusi KL City FC, Syed Yazid Syed Omar, mengesahkan mengenai keadaan terkini pemain KL City yang perlu dikuarantinkan dan 'berkemungkinan besar' dua aksi akan dating terpaksa ditunda.
"Saya sudah mendapat laporan perubatan daripada hospital kerajaan yang memaklumkan pemain terbabit perlu dikuarantinkan dan berehat selepas disahkan positif influenza.
"Surat mengesahkan mereka positif sudah saya terima dan hal ini bermakna kemungkinan besar dua perlawanan akan datang terpaksa ditunda kerana kekurangan pemain," katanya dipetik dari media tempatan.