Selepas dikecewakan dalam kempen Piala Shopee musim lalu, Johor Darul Ta'zim (JDT) akan kembali bertemu Buriram United bagi aksi pertama Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri malam esok.
Harimau Selatan tewas secara agregat 3-4 kepada kelab gergasi Thailand itu dalam separuh akhir Piala Shopee musim lalu, di mana mereka tewas 1-3 di SSI sebelum mencatatkan kemenangan 2-1 di tempat lawan dalam aksi timbal balik.
Menyedari kesukaran berdepan seteru ASEAN itu sebelum ini, ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz, mahu pasukannya memulakan kempen peringkat Asia musim ini dengan langkah kanan di laman sendiri.
Munoz mahu anak buahnya kekal matang dan memberikan tumpuan sepenuhnya sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.
Dia yakin mereka mempunyai kredibiliti untuk melunaskan hasrat itu tetapi menegaskan kemenangan hanya mampu diperoleh jika semua pemain melaksanakan perancangan taktikal dengan berdisiplin.
"Adalah penting untuk anda memulakan sesuatu kejohanan dengan keinginan untuk menang," katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Ainul Abd Rouf.
"Adalah penting untuk kami mengetahui lawan seperti apa yang akan kami hadapi dan adalah penting untuk kami membuktikan perwatakan, kapasiti dan kelakuan kami dari minit pertama sehingga terakhir.
"Kami sedar kami akan berdepan lawan yang mungkin tidak dapat menunjukkan bola sepak terbaik mereka tetapi masih memiliki pemain terbaik yang mampu mengubah momen dalam perlawanan.
"Esok adalah perlawanan penting untuk kami kekal fokus dalam setiap fasa perlawanan, berdasarkan tentangan yang mungkin tidak berlaku dalam saingan domestik kita.
"Tetapi sudah pasti saya positif dengan bagaimana pasukan ini berlatih, bagaimana pasukan ini memulakan minggu pertama musim ini dan beberapa perlawanan pertama."