Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Rojiblancos terus hambat Barca

atletico-madrid.jpg
ATLETICO MADRID 1 LEGANES 0

Diego Simeone sedar prestasi memuncak Barcelona dalam kempen LaLiga tetapi dalam masa yang sama, menggesa Atletico Madrid agar mengekalkan tahap tinggi mereka dalam pemburuan gelaran. 


Barcelona kekal berkelebihan tujuh mata dengan Atletico untuk menduduki tangga teratas LaLiga di sebalik kemenangan tipis 1-0 seteru mereka itu ke atas Leganes awal pagi tadi. 

Juara bertahan itu pula bangkit untuk mengalahkan Rayo Vallecano 3-1 dan kini tidak terkalah dalam 15 perlawanan liga.

Skuad kendalian Simeone itu memenangi lima perlawanan berturut-turut tetapi dengan 11 perlawanan lagi bersisa, peluang mereka dilihat semakin sempit.

"Barcelona, sejak Disember lalu, sedang mengalami musim Barcelona yang tipikal -- sentiasa menang," kata Simeone.

"Kami perlu meneruskan usaha kami dengan tujuan untuk memperbaiki diri. Itulah motivasi kami pada setiap minggu.

"Bukan mudah untuk menang dan kami bersaing dengan pemain hebat yang boleh beraksi di pelbagai posisi."

Saul Niguez, yang diperkenalkan selepas rehat, merakamkan gol tunggal dalam aksi di Wanda Metropolitano itu apabila dia menyudahkan bola muntah sepakan penaltinya yang terlebih dahulu ditepis. 

Simeone kemudian merehatkan Antoine Griezmann sebelum memasukkan Alvaro Morata dan Thomas Lemar bagi memastikan kecergasan mereka selepas pertembungan Liga Juara-Juara (UCL) dengan Juventus, Rabu lalu.

Atletico akan membawa bekalan 2-0 ke pusingan 16 itu dan Simeone mengakui pemilihan barisan pemainnya kelak hanya mempunyai satu tujuan sahaja di Turin.

"Ia normal," katanya. "Rabu adalah perlawanan getir. 

"Dalam apa yang kami rancangkan, kami hanya memikirkan tentang perlawanan ini. Kami cuba untuk mengimbangi permainan ini dan memenanginya.

"Babak pertama bermula sedikit tenang tetapi dalam babak seterusnya dengan kemasukan Saul dan Lemar, mereka menawarkan kami lebih banyak kepantasan yang membolehkan kami menang."
 

Advertisement

Must Watch Video