DEPORTIVO 2 BARCELONA 1
Barcelona tewas buat kali pertama dalam perlawanan yang menyaksikan Luis Suarez menjaringkan gol.
Kekalahan 2-1 dalam LaLiga kepada Deportivo La Coruna di The Riazor adalah perlawanan ke-73 Barca dalam semua pertandingan yang menyaksikan Suarez menemui jaring.
Sebanyak 72 perlawanan sebelumnya memperlihatkan Barca memenangi 66 dan seri enam yang lain tetapi kekalahan mengejut ini telah menamatkan rentetan cemerlang itu.
Hanya empat hari selepas merekodkan kebangkitan terbesar dalam sejarah Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain (PSG), Barca ternyata hambar yang menyaksikan mereka tersembam dalam kekalahan yang amat berharga dalam perebutan kejuaraan LaLiga.
Joselu menghukum kesilapan pada separuh masa pertama oleh penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen, untuk memberikan pasukan tuan rumah gol pendahuluan.
Suarez, yang menyumbat empat gol ketika Barca menang 8-0 di The Riazor musim lalu, kelihatan mengembalikan pelawat ke landasan sepatutnya seminit selepas separuh masa kedua dimulakan.
Tetapi tandukan ketua pasukan Depor, Alex Bergantinos, ketika permainan berbaki 16 minit terbukti menjadi pemisah di antara kedua-dua pasukan.