LIGA PERDANA MSIA
Rendy simpan hasrat jaga gawang Malaysia
Penjaga gol Sabah, Robson Rendy Rining, mengakui menyimpan hasrat untuk menjaga gawang pasukan kebangsaan pada suatu hari nanti.
Selepas terpilih sebagai Pemain Terbaik Bulanan, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM)-asiana.my bagi bulan Februari, pemain itu semakin bersemangat untuk terus beraksi cemerlang bersama skuad Badak, sekali gus berharap prestasinya akan diintai pasukan Harimau Malaya.
"Memang itu (beraksi untuk negara) salah satu impian saya. Untuk ke arah itu mungkin masih sangat jauh bagi saya tetapi saya akan berusaha bersungguh-sungguh kerana untuk menjadi sebahagian daripada pemain Malaysia bukanlah mudah," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian anugerah berkenaan di Stadium Likas, di Kota Kinabalu, hari ini.
Iklan
Turut hadir, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Joehari Ayub, Setiausaha PFAM, Ahmad Fauzi Saari, Bendahari PFAM, Rudie Ramli serta Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail.
Dengan usia yang baru mencecah 25 tahun pada musim ini, Rendy yang menjadikan bekas penjaga gol Sabah dan kebangsaan, Khairul Azman Mohammad, sebagai idolanya, masih memiliki peluang cerah untuk mencapai impiannya itu dengan syarat dia mengekalkan prestasi baiknya.
"Dari kecil lagi, saya mengimpikan untuk beraksi dengan pasukan kebangsaan tetapi saya perlu bekerja keras untuk mencapainya. Fokus saya ketika ini adalah untuk terus meningkatkan prestasi dan membantu pasukan Sabah dalam kempen liga musim ini," katanya.
Sementara itu, Rendy turut berterima kasih kepada peminat yang telah mengundinya sehingga menjadikan dia sebagai pemain terbaik Liga Perdana bagi bulan Februari.
"Saya amat gembira dengan anugerah ini dan pastinya saya berterima kasih kepada peminat yang mengundi saya, tidak lupa juga kepada PFAM yang mengambil inisiatif untuk menganjurkan anugerah ini.
"Dengan anugerah yang saya terima ini, saya tidak akan menoleh ke belakang lagi dan pastinya akan akan terus memberikan komitmen terbaik untuk pasukan saya," katanya.
Must-Watch Video