LIGA SUPER MSIA
Rekod tanpa kalah TFC lebur di tangan JDT
TFC 0 JDT 1
Johor Darul Ta'zim (JDT) merampas kedudukan teratas daripada PKNS FC selepas mereka membenam Terengganu FC (TFC) 1-0 dalam Liga Super di Kuala Terengganu, malam ini.
Bukan sahaja tumbang di gelanggang sendiri, ia juga kekalahan pertama TFC selepas meraih dua kemenangan dan dua seri musim ini
Iklan
Serangan bertali arus daripada TFC kerap kali mencemaskan bentang JDT tatkala skuad Selatan tanah air itu belum mampu mengancam kubu lawan sepanjang 15 minit pertama.
Kem TFC cemas memikirkan kehilangan Kipre Tchetche pada awal permainan apabila melihat pemain itu mengerang kesakitan selepas berlanggar dengan Marcos Antonio pada minit ke-21, namun kecederaannya tidak serius dan boleh meneruskan perlawanan.
Antonio kemudiannya menjaringkan gol untuk JDT selepas membuat sepakan susulan daripada percubaan pertamanya ketika keadaan kelam kabut di depan pintu gol TFC pada minit ke-30.
Sentuhan pertama Abdul Malik Mat Ariff begitu mengecewakan ketika dia berada di kedudukan baik menerima hantaran daripada sepakan percuma, sekali gus tidak mencemaskan Mohd Farizal Marlias.
Tinggal seminit menuju ke bilik persalinan, Kipre mempunyai peluang keemasan apabila hanya perlu berdepan Farizal tetapi bola sentuhan akhirnya ditepis penjaga gol itu.
Jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim, menambah kesegaran di bahagian depan pasukannya dengan memasukan Lee Jeong-hyeop dan Mohamad Ashari Samsudin selepas beberapa minit memulakan separuh masa kedua.
Hantaran satu-dua di antara Lee Tuck dan Kipre kemudiannya membawa kepada peluang terbuka buat Ashari, tetapi pemain sayap itu membuat rembatan melulu yang tersasar keluar.
JDT berdepan detik-detik berbahaya apabila Kipre menerima hantaran daripada Fitri Omar, namun mujur rembatannya jauh melewati palang.
Pada minit ke-83, Safiq Rahim melakukan tandukan jarak dekat yang tepat menuju ke arah dakapan Wan Muhammad Azraie Wan Teh.
Ashaari seterusnya mencuri tumpuan dengan melakukan sepakan gunting daripada hantaran Kipre, tetapi kedudukannya terlebih dahulu dikesan ofsaid sebelum bola percubaannya itu tersasar keluar.
Sementara itu, Kedah dikejutkan Kuala Lumpur 4-3 manakala Pahang melakar kemenangan besar 4-0 ke atas Negeri Sembilan.
Saingan Liga Perdana hari ini pula menyaksikan UiTM FC terikat 1-1 dengan Felcra FC manakala Terengganu II (TFCII) menewaskan UKM FC 2-1.
Must-Watch Video